Pages

Tuesday, November 1, 2011

MILF siap sedia perangi askar Filipina

PENDUDUK Muslim berhimpun secara aman dekat Istana Presiden di Manila Jumaat lalu selepas tentera Filipina menyerang pejuang MILF baru-baru ini menyebabkan 30,000 penduduk melarikan diri.
PENDUDUK Muslim berhimpun secara aman dekat Istana Presiden di Manila Jumaat lalu selepas tentera Filipina menyerang pejuang MILF baru-baru ini menyebabkan 30,000 penduduk melarikan diri.
Pihak berkuasa dakwa kumpulan berkenaan mungkin jadi sasaran jika lindungi penjenayah

MANILA: Pemisah Islam di Filipina bersedia berperang semula selepas kerajaan memberi amaran akan memburu mereka jika melindungi penjenayah, kata jurucakapnya, Von al-Haq, semalam.
Al-Haq berkata, pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sudah bersedia berdepan kemungkinan serangan itu, sambil menambah kumpulan berkenaan kekal komited untuk mengadakan rundingan damai dengan kerajaan.
“Kami sudah mengarahkan anggota darat berada dalam kedudukan bertahan. Namun, ia atas kebimbangan mungkin ada serangan. Jika mereka mendesak, kami perlu lawan. Itu jelas,” katanya kepada wartawan.

Amaran dikeluarkan selepas tentera berkata MILF mungkin menjadi sasaran jika ia terus melindungi penjenayah di sebalik perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pemberontakan selama beberapa dekad yang meragut 150,000 nyawa sejak 1970-an.

Sejak beberapa minggu lalu, anggota tentera dan polis yang memburu penjenayah di selatan Filipina bertempur dengan sasaran yang dikaitkan dengan MILF menyebabkan 40 anggota tentera, polis dan penduduk awam maut.

Ketika MILF sendiri tidak mengiktiraf sebahagian mereka yang diburu itu sebagai anggotanya, ia mengaku bertanggungjawab di atas pembunuhan 19 anggota keluarga di Basilan atas alasan mereka menceroboh wilayah pergerakan itu.
Jurucakap tentera, Kolonel Arnulfo Burgos, berkata di sebalik kebimbangan MILF, mekanisme gencatan senjata masih berkuat kuasa yang menghalang keganasan kedua-dua pihak.

Katanya, rundingan tidak rasmi akan datang antara MILF dan kerajaan awal bulan ini diharap dapat menenangkan ketegangan.

“Kami akan menunggu reaksi daripada apa yang berlaku dalam rundingan damai November ini,” kata Burgos.

MILF yang mempunyai 12,000 anggota terbabit dalam rundingan damai dengan kerajaan dan mengadakan perjanjian gencatan senjata.

Bagaimanapun, keganasan yang dipersalahkan ke atas mereka mencetuskan kemarahan terhadap pergerakan berkenaan, dengan desakan semakin memuncak supaya kumpulan itu diperangi.

Presiden Benigno Aquino berkata, beliau kekal komited dengan proses damai dengan pemisah di sebalik keganasan terbaru meletus. – AFP
Berita Harian Online | MILF siap sedia perangi askar Filipina:

'via Blog this'

No comments: