SUNGAI BULOH - Seorang wanita yang sedang mengambil angin selepas menikmati sarapan pagi terkejut apabila mendapati rumah jirannya yang dalam pembinaan tiba-tiba runtuh hingga menghasilkan bunyi kuat dan diselaputi debu putih dalam kejadian di Jalan Love Lane, Kampung Baru Sungai Buloh di sini semalam.
Kejadian pukul 9.20 pagi itu menyebabkan lima pekerja cedera termasuk dua daripadanya parah selepas koridor di tingkat tiga bangunan tiga tingkat yang dalam pembinaan sejak dua tahun itu tiba-tiba runtuh.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca dari struktur koridor yang tidak kukuh. Bangunan itu dijangka menempatkan tujuh buah rumah apabila siap kelak.
Runtuhan tersebut telah menimpa koridor di tingkat dua sebelum ia terus menjunam ke bawah. Kesemua mangsa ketika itu sedang bekerja di tingkat tiga.
Salah seorang mangsa dikatakan tersepit di celah runtuhan. Bomba mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkannya.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Ah Leow, 71, itu berkata, dia terus menjenguk dari tingkap sebaik terdengar bunyi kuat dari bangunan yang siap kira-kira 95 peratus itu.
"Ketika itu saya sedang berehat selepas bersarapan. Tiba-tiba saya dengar bunyi kuat disusuli debu putih menyelubungi bangunan itu sebelum bomba tiba menyelamatkan mangsa," ceritanya.
No comments:
Post a Comment