Pages

Tuesday, November 1, 2011

Thailand kemuka bajet RM93b pulih banjir



PENDUduk mengusung keranda dalam banjir di sebuah kuil Buddha yang menjadi pusat penempatan sementara mangsa banjir di Bangkok, kelmarin. – REUTERS


BANGKOK 31 Okt. – Kerajaan Thailand menimbangkan pelan pemulihan melibatkan belanjawan berjumlah 900 bilion baht (RM93 bilion) berikutan banjir buruk yang melanda banyak kawasan di negara ini.

Sementara itu, pusat bandar raya Bangkok yang dilindungi dengan rangkaian tambak dan benteng beg pasir dijangka terselamat daripada banjir apabila air pasang yang naik di Sungai Chao Phraya sejak beberapa hari lalu surut hari ini, paras air di hulu sungai menurun dan cuaca beransur-ansur baik.

Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra mencadangkan pelan 900 bilion baht itu pada satu mesyuarat khas Kabinet semalam, lapor akhbar The Nation, hari ini.

Menurut cadangan itu, bajet 100 bilion baht (RM10.23 bilion) akan dibelanjakan dalam tempoh setahun untuk memulihkan kawasan perindustrian yang teruk terjejas akibat banjir musim monsun di wilayah-wilayah Ayutthaya dan Pathum Thani pada tahun ini, kata Menteri Tenaga, Pichai Naripthaphan.

Kerajaan berharap operasi di kawasan perindustrian terbabit dapat dipulihkan dalam masa tiga bulan.

Sejumlah 600-800 bilion baht (RM61.3-RM81.84 bilion) lagi akan dibelanjakan dalam tempoh yang belum ditetapkan untuk merombak sistem pengurusan air di negara ini berikutan banjir buruk yang telah menyebabkan 381 orang maut dan kerosakan bernilai kira-kira 500 bilion baht (RM51.15 bilion).

“Beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Jepun telah mencadangkan pelan pemulihan untuk Thailand, dan pakej mereka termasuk pinjaman dan teknologi untuk negara kita, tetapi kerajaan belum membuat keputusan,” kata Pichai kepada Bangkok Post.

Banjir musim monsun pada tahun ini, yang terburuk dalam tempoh berpuluh-puluh tahun, berpunca daripada salah pengurusan dan hujan lebat luar biasa, yang turut menyebabkan banjir di negara jiran, Vietnam, Kemboja dan Laos, menurut pakar.

Paling teruk terjejas akibat banjir ialah tujuh kawasan perindustrian di wilayah Ayutthaya dan Pathum Thai, ke utara Bangkok, yang menempatkan ratusan kilang syarikat asing dan tempatan.

Kawasan perindustrian itu dibina sekalipun pihak berkuasa diberi amaran mengenai lokasinya yang terletak di dataran banjir semula jadi bagi Sungai Chao Phraya yang mengalir dari tengah Thailand ke Bangkok dan seterusnya ke Teluk Siam.

“Beberapa tahun lalu, saya mengesyorkan kawasan itu dizonkan khusus untuk tujuan pertanian dan pengairan, tetapi saya ditertawakan,” kata Pengarah Urusan Chula Unisearch di Universiti Chulalongkorn, Thaweewong Sriburi.

– dpa/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: