Pages

Tuesday, November 1, 2011

9 cedera nahas kereta api, lori tangki



SEORANG penunggang motosikal merakamkan gambar kereta api yang terbakar setelah sebuah lori tangki minyak di jalan Kota Kinabalu-Putatan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 31 Okt. – Hampir 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari sini ke Papar terselamat apabila kenderaan itu merempuh sebuah lori tangki minyak mengakibatkan berlaku kebakaran dan letupan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini petang ini.

Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan trafik yang teruk apabila jalan hadapan KKIA menghala Putatan terpaksa ditutup pada pukul 6 petang kerana api yang marak.

Difahamkan lori tangki membawa muatan 27,000 liter petrol itu terbakar serta-merta selepas dirempuh, seterusnya berlaku letupan kuat dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30 meter.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan hanya sembilan orang penumpang dilaporkan cedera.

Beliau berkata, pemandu lori tangki minyak dan pemandu keretapi juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius kerana sempat menyelamatkan diri.

“Lori tangki itu dilaporkan cuba melintas laluan keretapi yang terletak berhampiran jalan besar dekat KKIA bagi menghantar minyak ke sebuah stesen terletak berhampiran dengan laluan keretapi tersebut.

“Namun ia dipercayai tidak sempat melintas dan menyebabkan dirempuh keretapi yang menuju ke Papar,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam ini.

Menurut pemandu lori tangki itu yang ingin dikenali sebagai Pouleh Dansun, sebelum kejadian, dia terdengar hon kuat tetapi menyangka ia dibunyikan oleh kenderaan di belakangnya.

“Namun setelah ditoleh ke kiri sebuah kereta api menuju ke arah saya. Saya cuba memecut lori itu untuk melintas laluan keretapi tersebut tetapi gagal.

“Kereta api itu lalu merempuh bahagian belakang lori dan menyebabkan ia terbakar dan meletup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut saksi, penumpang-penumpang dalam kereta api itu berjaya menyelamatkan diri selepas pelanggaran berlaku dengan melarikan diri ke bahagian belakang keretapi.

Mangsa-mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi berkata, lima kereta bomba dari balai bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, mereka juga dibantu dengan sebuah kereta tangki air dan dua kereta bomba dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat lapangan terbang itu.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

No comments: