Pages

Tuesday, September 6, 2011

Pemberontak Libya cuba elak tempur panjang


GELEDAH RUMAH KAWAN KARIB PEMIMPIN DIGULING: Gambar video menunjukkan pemimpin Gerakan Kebangsaan bagi Pembebasan, Encik Wesam Saleh Abu Gharara (kanan), mencari sesuatu di rumah seorang rakan karib Encik Gaddafi, Encik Ahmed Abdallah Oun, yang juga pegawai kanan tentera Libya yang ditangkap pemberontak, di Tripoli kelmarin. -- Foto REUTERS

Kerah lebih ramai pejuang di salah sebuah kubu terakhir Gaddafi tapi beri peluang bandar menyerah


TARHOUNA (Libya): Tenaga bantuan tambahan pihak pemberontak tiba di salah sebuah kubu terakhir Encik Muammar Gaddafi di Libya semalam.
Ini walaupun tentera pemberontak yang disiapkan bagi menentang diktator yang digulingkan itu telah memberi peluang untuk bandar itu menyerah kalah dan mengelakkan pertempuran.Ribuan pemberontak berkumpul di bandar padang pasir itu, Bani Walid, yang terletak sekitar 140 kilometer dari Tripoli.Encik Gadhafi sedang dalam pelarian sejak gagal mempertahankan ibu kota Tripoli.Tentera pemberontak menguasai kebanyakan kawasan di Libya dan bersedia membentuk sebuah pemerintah baru.Namun, mereka tidak dapat mengisytiharkan kemenangan sehingga Encik Gaddafi ditangkap dan kawasan- kawasan seperti Bani Walid dikuasai.Oleh itu, mereka menunjukkan bahawa mereka sedia bersabar dan berharap dapat mengelak daripada mengadakan pertempuran antara puak bertentangan, yang mungkin menyebabkan perpecahan berpanjangan di negara itu.Pihak pemberontak telah melanjutkan tarikh penamat bagi penyerahan bandar Sirte - kampung halaman Encik Gaddafi - dan beberapa kawasan penyokongnya, tetapi sesetengah mereka mengancam akan menyerang Bani Walid lebih awal kerana ramai bekas pegawai terkenal di bawah pentadbiran Encik Gaddafi dipercayai masih berada di sana.Bagaimanapun, suasana awal semalam aman, dengan para pemberontak kelihatan berehat sambil merokok di sebuah pusat pemeriksaan sekitar 70 kilometer dari kawasan pusat Bani Walid.Satu konvoi terdiri daripada sembilan trak kemudian tiba di kawasan itu sambil mengibarkan bendera era kemerdekaan yang direka mereka.Sedang anak buahnya menembak ke udara sambil melaungkan 'Allahu Akbar', seorang komander, Ismail al- Gitani, berkata mereka sebahagian daripada pasukan lebih besar yang diperintahkan membantu menawam Bani Walid.Beliau, bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah pejuang yang dipimpinnya itu.'Kami tidak akan masuk ke Bani Walid kecuali puak Warfala mengundang kami,' kata beliau, merujuk kepada puak utama di bandar itu.'Diharapkan tiada siapa akan ditembak. Kami tidak mahu menggunakan senjata kami. Tetapi jika penyokong Gaddafi menembak kami, sudah tentu kami akan membalas,' tambahnya.Awal dari itu, seorang lagi komander pihak pemberontak di pusat pemeriksaan itu, Mohammed al-Fassi, berkata pintu rundingan masih terbuka. -- AP.-CYBERITA

No comments: