Pages

Tuesday, September 6, 2011

Keputusan di tangan tentera

SHISHAN (Libya): Pejuang pemberontak mengambil sikap menunggu perkembangan selanjutnya ketika wakil mereka mendakwa, rundingan penyerahan Muammar Gaddafi gagal dan tidak akan diteruskan, semalam.
Ketua perunding Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdullah Kenshil, berkata dia kini menyerahkan isu berkenaan kepada pemimpin tentera.

Shishan - terletak di tenggara Tripoli - menjadi antara kubu terakhir penyokong Gaddafi dan dipercayai, sekurang-kurangnya seorang daripada anak bekas diktator itu berlindung di situ.

Di Misrata di utara Bani Walid, seorang pegawai kanan tentera berkata, kumpulan pemantau dihantar ke kawasan berkenaan tetapi tiada sebarang pertempuran tercetus.

Abdullah berkata, penyokong Gaddafi di Bani Walid mahu menyerah diri tetapi ditolak.

“Mereka menuntut tentera revolusi memasuki Bani Walid tanpa senjata, namun tindakan itu mendedahkan kami kepada serangan,” katanya.


Menurut Abdullah, selain Gaddafi, turut berlindung di situ ialah anak lelaki serta sebahagian besar ahli keluarganya.

Katanya, walaupun sebahagian daripada mereka meninggalkan Bani Walid, Saadi dan Mutassim dipercayai masih ada di bandar itu.
Rundingan bermula beberapa hari lalu melalui perantaraan wakil puak bagi membuka ruang Bani Walid dikuasai tanpa pertumpahan darah.

Bani Walid menjadi kubu puak Warfalla yang berpengaruh serta bersimpati kepada Gaddafi.

Sebagai balasan, Gaddafi melantik kebanyakan pemimpin tentera Libya di kalangan puak berkenaan.

Bagaimanapun, ada pihak mendakwa, puak itu kini berpecah dengan sebahagian mereka menyebelahi NTC.

Tentera NTC kini berada kira-kira 15 hingga 20 kilometer dari sempadan Bani Walid dan bersedia melancarkan serangan ke situ pada bila-bila masa.

Sementara itu, pemimpin tentera di Tripoli, Abdul Hakim Belhaj, menuntut Britain dan AS meminta maaf kerana bersekongkol menahan serta menyeksanya kerana disyaki militan.

Arkib perisian rejim Gaddafi menunjukkan dua kuasa besar itu berpakat menahan Abdul Hakim. - AFP

No comments: