Pages

Tuesday, September 6, 2011

Korban Talas meningkat 31 orang


Pasukan menyelamat berusaha menyelamatkan penduduk yang dilaporkan hilang dalam runtuhan rumah akibat dihanyutkan banjir berikutan Taufan Talas di Tanabe, daerah Wakayama, barat Jepun, kelmarin. - AFP



TOKYO 5 Sept. - Pasukan penyelamat hari ini melancarkan operasi mencari dan menyelamat, selepas Taufan Talas menghentam barat Jepun kelmarin mengakibatkan 31 maut dan sekurang-kurangnya 50 yang lain masih hilang.
Hujan lebat yang melanda barat Jepun Sabtu lalu akibat taufan itu menyebabkan air beberapa buah sungai melimpah, sekali gus mengakibatkan banjir serta kejadian tanah runtuh yang memusnahkan bangunan-bangunan, rumah kediaman dan jalan raya.
Polis dan anggota bomba meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang pagi ini sambil memberi amaran angka korban dijangka meningkat ketika kerosakan dan ancaman tanah runtuh diramal terus berlaku, yang boleh mengganggu kerja-kerja menyelamat.
Taufan terbaru itu melanda selepas negara itu dibadai taufan pada Oktober 2004 yang menyebabkan hampir 100 maut turut mengingatkan Jepun kepada bencana gempa bumi serta tsunami yang melanda timur laut negara ini pada 11 Mac lalu.
Di Nachikatsuura, sebuah jambatan menempatkan landasan kereta api dihanyutkan air, sementara rakaman televisyen menunjukkan pokok tumbang merempuh rumah serta kereta yang dihanyutkan banjir.
Taufan itu melanda beberapa hari selepas Perdana Menteri baru, Yoshihiko Noda mengangkat sumpah jawatan pada Jumaat lalu menggantikan Naoto Kan yang dikritik teruk kerana tindakan lambat dalam menguruskan bencana berkembar pada 11 Mac lalu.
"Kami akan buat yang terbaik bagi menyelamatkan nyawa dan mencari mangsa yang hilang," kata Noda pagi ini kepada pemberita.
Wilayah Wakayama merupakan kawasan paling teruk terjejas apabila lebih 17 dilaporkan maut, sementara 28 yang lain masih hilang.
Lebih 200 kakitangan penyelamat kini bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat dalam mendapan lumpur serta kawasan tebing sungai.
"Bekalan elektrik kini terputus dan jalan-jalan yang rosak menyukarkan kenderaan kami tiba ke kawasan terjejas teruk," kata seorang pegawai bomba di Tanabe, Wakayama. - AFP, utusan

No comments: