Pages

Tuesday, September 6, 2011

Mogadishu bandar mengerikan

Antara bangunan kosong yang teruk dibedil meriam dan peluru
 dikebanyakan kawasan di Mogadishu, Somalia.

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Mengerikan! Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut Abdi Salam Hussein (gambar), 52, mengenai Mogadishu ketika kembali semula menjenguk ibu negara Somalia itu selepas 22 tahun berhijrah ke luar negara.
Menurutnya, kampung halamannya itu kini bagaikan sebuah kota berhantu yang jauh berbeza berbanding sebelum ditinggalkannya sekitar 1989.
Jelasnya, ketika itu, Mogadishu umpama sebuah ‘syurga’ sesuai statusnya sebagai bandar perdagangan yang maju serta didiami lebih tiga juta penduduk.
‘‘Ini kali pertama saya balik selepas 22 tahun. Saya tak percaya dan sedih melihat Mogadishu sekarang. Ia bertukar menjadi sebuah bandar yang kotor. Seperti bandar berhantu dan amat menakutkan.
‘‘Percaya atau tidak, satu ketika dahulu, saya dan orang lain boleh bersiar-siar pada waktu malam di Mogadishu. Tak takut langsung. Tapi lihatlah Mogadishu sekarang. Malamnya gelap, tiada lampu jalan. Hendak keluar waktu malam pun mengerikan.
‘‘Bangunan-bangunan pun musnah dan penuh dengan kesan tembakan dan bom. Bekalan air sudah tidak bersih. Bandar ini sudah hilang cahayanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Mogadishu, baru-baru ini.
Beliau berada di sana bagi mengikuti misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Mengulas lanjut, Abdi Salam yang juga pensyarah di Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) Shah Alam, berkata, beliau meninggalkan Mogadishu atas saranan bapanya yang dapat ‘menghidu’ kemungkinan Somalia akan berhadapan dengan konflik perang saudara.
Sangkaan bapanya itu, kata beliau, tepat dan Mogadishu bertukar seakan ‘neraka’ apabila terbabit dalam perang saudara pada 1991 yang berterusan sehingga kini.
‘‘Pada 1989, ketika berusia 31 tahun, saya menjadi anak pertama daripada 17 beradik yang berhijrah ke luar negara. Dua lagi adik-beradik saya sudah meninggal dunia. Tinggal kami 15 beradik. Saya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan kemudiannya Kanada. Selepas itu saya berhijrah pula ke Malaysia pada tahun lalu.
‘‘Adik-beradik saya yang lain berhijrah secara berperingkat-peringkat termasuk ayah dan ibu yang berhijrah ke Yemen. Ada adik-beradik saya berhijrah ke Britain, Itali, Sweden, Switzerland, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia dan Malaysia.
‘‘Kami masih berhubungan antara satu sama lain. Sudah pasti kami mahu kembali semula ke Somalia. Tetapi, biarlah segalanya kembali aman. Setibanya saya di sini, ada juga saya mencari kawan-kawan lama. Tetapi entah ke mana mereka pergi. Mogadishu kini pun dipenuhi orang luar yang tidak dikenali,” katanya.
Ditanya apakah Somalia mampu kembali aman, beliau percaya ia boleh dilakukan jika semua rakyat negara itu bersatu.
‘‘Tetapi, ia memakan masa,” jelasnya ringkas.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa simpati dan mengucapkan salam takziah kepada keluarga jurukamera BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, yang terkorban ketika membuat liputan misi bantuan kemanusiaan itu di Mogadishu.utusan

No comments: