PERUMAL...tersilap orang |
ALOR GAJAH: Seorang lelaki terpaksa berlari menyelamatkan diri dalam keadaan berlumuran darah dan menahan kesakitan sambil memegang lengan kanannya yang putus akibat ditetak tiga lelaki bertopeng di Taman Bukit Tampin, Pulau Sebang, di sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, lelaki berusia 35 tahun itu tidak dapat berlari jauh akibat kecederaannya yang parah sebelum jatuh tidak jauh dari tempat dia diserang.
Rakan mangsa yang berusia 36 tahun turut cedera parah akibat ditetak di belakang badan manakala seorang lagi mangsa, sempat lari menyelamatkan diri.
Dalam kejadian 9 malam itu, tiga sahabat berkenaan dikatakan berbual di depan rumah apabila Proton Wira berhenti di depan mereka dan tiga lelaki bersenjatakan parang keluar daripada kereta lalu menyerang mereka.
Menurut abang mangsa kedua yang ditetak di belakang badan, M Perumal, 48, dia dimaklumkan tiga lelaki itu tiba-tiba menyerang adik iparnya bersama dua rakan.
“Adik ipar saya dan seorang rakannya gagal melarikan diri dan mereka ditetak kumpulan lelaki terbabit menyebabkan cedera parah.
“Mereka cedera di tangan dan belakang badan, cuba melarikan diri tetapi hanya dapat berlari sejauh beberapa meter sebelum rebah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, seorang lagi rakan mereka yang berusia lingkungan 20-an, sempat lari ke belakang rumah bagi menyelamatkan diri.
Katanya, adik ipar dan rakannya yang cedera parah itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan manakala tiga penyerang itu melarikan diri.
“Saya tidak mengetahui motif serangan itu tetapi tidak menolak kemungkinan mereka tersilap sasaran kerana setahu saya, adik ipar saya tidak mempunyai musuh. Bagaimanapun, saya serahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada dendam atau tidak puas hati antara penyerang dengan seorang daripada mangsa.
“Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta kerjasama saksi tampil membantu siasatan,” katanya.
Tinjauan mendapati Unit Forensik polis berada di tempat kejadian bagi penyiasatan.
Sementara itu, jurucakap Hospital Tampin berkata, kedua-dua mangsa yang kehilangan banyak darah dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.
No comments:
Post a Comment