Pages

Saturday, October 23, 2010

Durian Tembaga dan...



Oleh A Rahman CM

2010/07/24

JUNID memandang pokok durian tembaga dalam kebun buah-buahannya itu dengan senyum panjang. Pokok itu sudah sampai lebih separuh abad usianya, tetapi ia kelihatan masih utuh, masih tegap, masih subur, masih mampan. Junid mendongak. Senyumnya menjadi lebar pula apabila dia terpandang akan buah durian tembaga itu yang lebat. 

Lalu Junid menebas semak-semak kecil di keliling pokok durian tembaga itu supaya nanti apabila buah durian tembaga itu gugur, senang memungutnya. Dia fikir tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan matang. Apabila matang ia akan jatuh. Junid tahu tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan masak. Apabila masak ia akan gugur.
Beberapa hari juga Junid menebas semak-semak kecil itu. Sambil menebas, dia memerhati kalau-kalau ada makhluk perosak buah-buahan datang untuk merosakkan buah durian tembaganya itu. Untuk menjaga buah durian tembaganya itu dari dirosakkan, Junid tidak punya belas kasihan terhadap makhluk-makhluk perosak itu.
Click Here
Monyet muncul, monyet ditembaknya. 

Tupai datang, tupai ditembaknya. 

Kera tiba, kera ditembaknya. 

Lalu terbayang dalam mata khayalnya akan kegiatan hidupnya apabila buah-buah durian tembaga itu matang. Junid akan menunggu siang dan malam di kebun buah-buahannya itu untuk memungut buah yang gugur. Tergambar juga wajah Tuk Ku, ketua kampungnya. Junid nampak senyum kerepot Tuk Ku apabila dia menyerahkan sebiji durian tembaga kepadanya. Suka amat Tuk Ku dapat makan isi durian tembaga. 
Aku hanya makan durian ini dari kebun kamu Junid. 

Terima kasih kerana Tuk Ku sudi. 

Aku yang patut berterima kasih. 

Junid nampak dia senyum. Dia nampak isi durian tembaganya yang kuning seperti tembaga yang baru digilap. Isinya yang sebesar pergelangan lengan itu tebal. Sementara biji di dalamnya sebesar jari kelingking. Baunya harum. Apabila isinya digigit dan menjamah lidah ia terasa lemak-lemak manis. 

Junid bersandar pada dinding bangsal yang sedia dalam kebunnya itu. Dia memandang ke hadapan. Burung-burung berkicau merata. Rama-rama terbang lambat-lambat dari pokok ke pokok senduduk di luar kebun Junid. Tinggi di awan, berlegar-legar helang kepala putih mengintai-ngintai mangsanya di bawah. 

Junid memandang pada puncak durian tembaganya. Di situ sebiji buah durian yang agak besar seperti terlalu kukuh pada dahan. Sementara pada dahan-dahan lain di bawah, buah-buah duriannya bergantungan menunggu matang untuk gugur. Durian-durian yang gugur ketika matang menyenangkan Junid. 

Anak-anak dan cucunya akan pulang dari bandar untuk menikmati durian tembaganya. Selepas anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Junid menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu. 

Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya mengidam, maka Junid tidak punya alasan. Lalu Junid menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia tidak jual. Junid tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu. 

Lalu Junid, sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian tembaganya kepada perempuan yang mengidam. 

Mata Junid kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah isterinya yang juga seusia dengannya. 

“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Junid. 

Junid senyum. 

“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan suaminya. 

Junid sadin. 

“Hohhhhh! Saya ingat dah gugur.” 

“Tak apalah. Saya tunggu kalau ada tupai datang.” 

“Tupai keliling kebun awak ni, nampak awak saja dah melompat lari.” 

“Saya bimbangkan kera.” 

“Hammm! Yalah.” 

“Awak bukan tak tahu perangai kera hutan tu. Ia bukan makan sebiji, tapi melurut putik-putik durian tu. Khianatnya yang lebih,” kata Junid. 

“Perangai kera.” 

Mata Junid pada mangkuk tingkat yang dibawa oleh isterinya. 

Janah senyum melihat itu. 

“Baru terasa lapar?” Tanya Janah. 

Junid sengih. 

Janah lalu membuka mangkuk tingkat. Ada mangkuk nasi. Pada mangkuk lain ada gulai kuning garaman ikan tenggiri. Ada pula ulam dan sambal pada mangkuk yang lain. Dua biji mangkuk kosong Janah letakkan sebiji di hadapan suaminya dan sebiji di hadapannya. Janah lalu mengisi nasi ke dalam mangkuk kosong itu. 

Mereka mula menikmati makan tengah hari. Angin kering waktu tengah hari menyaman badan mereka. Ia menyegarkan dalam suasana kehijauan pokok dalam kebun buah-buahan itu. 

Pagi itu setelah selesai solat Subuh Junid sendirian ke dalam kebun buah-buahannya. Dengan senapang di bahu dia mendongak pada pokok durian tembaganya. Hidungnya kemudian terhidu bau. Lalu Junid mencari-cari bau itu. Dia mengelilingi kawasan pokok durian tembaganya itu. Kalbu Junid kegembiraan. Bibirnya segera mengukir senyum. Sebiji durian tembaga terbaring di hadapannya. Junid segera mencapainya. Dia lalu membawa buah durian tembaga itu ke bangsal rehatnya. 

Suasana pagi menyegarkan seluruh makhluk Allah di keliling kawasan kebun buah-buahan Junid. Burung-burung berterbangan, berkicau sambil mencari makan. Tidak terkecuali tupai. Dari kawasan luar kebun Junid, beberapa ekor tupai seperti kegembiraan melompat-lompat arah ke pokok durian tembaga Junid. 

Mata Junid segera menangkap lompatan-lompatan tupai itu. Junid segera mencapai senapang lalu meluru ke arah pokok petai yang menjadi tempat singgah tupai-tupai itu sebelum melompat ke pokok durian tembaga. Junid lalu melepaskan tembakan apabila matanya pada seekor tupai di atas pokok petai. Ia jatuh ke bumi. Beberapa ekor yang lain bercemera melompat-lompat melarikan diri. Ada pula yang menuruni batang petai lalu ke bawah. Tupai itu seperti faham bahawa Junid tidak akan menembak pada paras dada di bawah kerana bimbangkan peluru tersasar kepada orang-orang di luar kebun Junid. 

Sepi buat seketika. 

Junid balik pada bangsal. Dia pandang buah durian tembaga itu. Lama. Dia senyum. Kemudian Junid menoleh pada puncak durian tembaganya. Buah yang sebiji di puncak masih utuh di situ. 

Angin pagi yang lembut menyamankan Junid. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi durian gugur. Segera Junid ke pokok durian tembaganya. Dia capai durian itu sambil mendongak ke atas. Durian sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Junid membawa buah durian itu ke bangsal. Dia kemudian turun semula mengelilingi kebunnya lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Tembakan itu sebagai amaran kepada makhluk Allah yang berniat hendak merosakkan durian tembaganya. 

Junid pulang dengan membawa dua biji durian tembaganya. Durian itu akan dicekah di hadapan isterinya Janah. Dia tidak pernah makan durian tembaga itu sendirian di kebun sebelum Janah isterinya menikmati durian itu. 

“Dah gugur? ” Tanya Janah. 

“Rezeki awak,” kata Junid sambil mencekah buah durian tembaga itu. Terbuka sahaja kulitnya, nampak isi durian tembaga yang kuning serta harum. Junid menghulurkan kepada Janah. 

Dengan senyum Janah mencapai seulas. 

Junid juga mencapai seulas. 

“Saya nak ke kebun lepas ni. Tak balik hari ini,” kata Junid. 

“Saya faham. Tak apa. Saya akan bawa nasi nanti.” 

Junid dan Janah terus menikmati isi durian tembaga itu. Paksa akhir dicekah oleh Junid. Dia nampak isi durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana sudikan saya.’ 

“Petang nanti awak telefon anak-anak kita tu, “ kata Junid. 

Janah memandang wajah suaminya dengan mata berkaca. 

Pada hari ketiga durian tembaga itu gugur, tengah hari ketika Junid berehat di bangsal dengan beberapa biji durian tembaganya terbaring di atas lantai, muncul Kipli anak sulungnya bersama isteri dan tiga orang anaknya. Diikuti di belakangnya Zaleha dengan suami serta dua orang anaknya. Janah mendukung anak kecil Kipli. 

Junid kesukaan lalu mencekah durian tembaga itu untuk dinikmati oleh anak dan cucunya. 

“Buah di puncak tu besar, abah, kenapa belum gugur?” Tanya Kipli. 

Junid sengih pada wajah Kipli. 

“Patut buah di puncak tu gugur dulu. Dah terlalu besar tu. Tentu dah masak,” kata Kipli lagi. 

Junid memandang wajah Kipli. 

Kemudian kedengaran bunyi durian gugur. Sazali anak sulung Kipli meluru dengan adiknya Amran untuk mendapatkan durian itu. Sazali mendahului Amran. Belum sempat keduanya sampai di bangsal, kedengaran pula durian jatuh. Amran meluru. Dia capai durian itu. Mereka lalu menikmati isi durian tembaga itu. Tergambar rasa suka pada wajah mereka. Tergambar ras riang dan syukur pada wajah mereka. 
Durian gugur lagi. 

Kipli pula yang datang mengambil buah durian itu. 

“Eh! Tak gugur juga yang di puncak tu abah. Apa cerita? “Tanya Kipli sambil mendongak pada buah durian sebiji di puncak yang baginya terlalu besar itu. 
Junid sengih pada wajah anaknya. 

“Li bimbang, ia terlalu masak abah. Nanti kalau gugur melepuk menyek jadi tempoyak masam. Tak boleh dimakan,” kata Kipli. 

“Harap-harap taklah begitu, Li,” kata Junid. 

Durian gugur lagi. Buah-buah yang pada julai di bawah terus jatuh berganti-ganti, tetapi buah sebiji di puncak tidak juga gugur. Hairan juga Junid. Apakah buah sebiji di puncak itu mesti dikait? Tidak ada galah yang mampu mencapainya di puncak pokok itu. 

Keluarga Junid terus menikmati isi durian tembaga itu. Isi-isi yang dicekah seolah-olah berkata, ‘terima kasih kerana anggap kami masih berharga.’ 
Petang itu tinggal Kipli dalam kebun durian itu. Junid ke rumah Tuk Ku membawa sebiji durian untuk dihadiahkan kepada Tuk Ku. Dan ketika buah durian tembaga itu diserahkan kepada Tuk Ku, Junid merenung buah durian tembaganya itu. Dia nampak durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana anggap saya masih bernilai.’ 

Anak dan cucu-cucu Junid sudah pulang ke rumah mereka di bandar. Tinggal Junid dengan Janah menunggu durian tembaga itu. Waktu siang, Junid sendirian di kebun itu. Tetapi apabila malam, Janah menemaninya tidur di bangsal itu. Dan buah-buah duriannya terus gugur, tetapi buah sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Buah-buah pada dahan lain di bawahnya sudah tinggal hanya beberapa biji sahaja lagi. Tetapi buah sebiji di puncak itu masih juga utuh pada dahannya. Ia seperti tidak mahu gugur. Ketika angin meniup agak kencang banyak durian tembaga Junid gugur, tetapi buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh. 

Junid diterjah rasa hairan. Dia rasa buah di puncak itu sudah terlebih matangnya. 

Junid merasa buah durian tembaganya di puncak itu sudah terlalu masak. 

“Awak tembaklah,” kata Janah beri cadangan. 

“Mana boleh tembak. Pecah durian tu nanti. “ 

“Pakai lastik.” 

“Tak sampai.” 

“Habis, apa ikhtiar awak nak paksa durian tu gugur?” Mata Janah pada wajah suaminya Junid. 

“Mana boleh paksa-paksa. Sejak datuk nenek kita, mana ada kita paksa durian gugur?”. 

“Habis nanti, kalau gugur jadi tempoyak masam, nak buat apa?” 

“Apa daya saya,” kata Junid. Matanya lalu memandang buah durian sebiji di puncak pokok durian tembaganya itu. 

Buah-buah durian tembaga Junid sudah gugur semuanya kecuali yang sebiji pada puncak pokok itu sahaja yang belum gugur. Banyak juga Junid dapat wang hasil jualan buah durian tembaganya itu. Hairan Junid tidak terkira. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjatuhkan buah durian sebiji di puncak pokok itu. 

Dan Junid, sifat sayangnya pada buah durian itu memaksa dia terus-terusan menunggu, memaksa dia menanti siang dan malam untuk mengambil buah itu apabila gugur. Junid siap dengan senapangnya yang sentiasa sedia dengan peluru di dalam larasnya menunggu buah durian sebiji itu. 

Waktu petang angin kencang. Buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur. 
Junid tetap menunggu. 

Waktu malam angin kuat melanda. Buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh. 
Junid tetap patuh menanti. 

Angin sejuk waktu pagi. Durian sebiji di puncak itu tidak juga gugur. 
Junid tetap setia menunggu. 

Malah ketika angin gemuruh waktu tengah hari, durian itu tidak juga gugur. 
Junid tetap taat menanti. 

Apabila beberapa hari menunggu, buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur, Junid mula merasa puas menunggu. Mula timbul rasa meluat dalam kalbu Junid. Lalu petang itu dia melangkah longlai keluar dari kebunnya dengan niat tidak mahu lagi datang menunggu buah durian sebiji itu. Senapangnya sedia di bahu. Ketika dia sampai di pintu pagar, tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh pada umbi pokok durian tembaganya. Junid segera ke tempat itu. 

Junid sengih melihat buah durian yang berkecai. Bau masamnya menerawang kawasan keliling. Biji-bijinya sebesar kelingking merata. Sementara isinya seperti muntah kucing di atas rumput. Junid menggeleng-gelengkan kepalanya. 

Kenapa kamu baru gugur? 

Tidak ada harganya lagi. 

Aku, jangan nak makan, nak sentuh pun tak larat. 

Bau masam kamu menyesak hidung. 

Kasihan. 

Kalau kamu gugur dulu, aku akan simpan dalam almari kaca, tanda hormat aku pada kamu. Tetapi sekarang, tengok, jangankan tupai, lalat angau pun tidak datang menjenguk kamu. 

Junid menggeleng-gelengkan kepalanya melihat isi durian tembaganya yang ditunggu-tunggu selama ini gugur menjadi tempoyak masam. 

Inilah akibatnya kalau terlalu lama berada di puncak. Walaupun kamu amat tinggi nilainya, tetapi jatuh begini, menjadi tempoyak masam yang tidak punya harga apa-apa. 

Junid terus menggeleng-gelengkan kepalanya. 

INFO: Penulis 
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat, mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

No comments: