Pages

Saturday, October 23, 2010

Sebatang Pen



Oleh A Rahman CM

2010/10/16

SESIAPA sahaja yang berhajat hendak menunaikan fardu haji, mesti membersihkan dirinya terlebih dulu. Maksud membersihkan diri itu merangkumi beberapa perkara yang membabitkan dirinya dengan Allah juga yang membabitkan dirinya dengan manusia lain. 

Napi mengingati frasa itu di meja kerjanya. Frasa itu lahir dari mulut Ustaz Zuki di masjid tempat selalu Napi solat berjemaah lima waktu. Di hadapan Napi sebatang pen yang sudah berusia tiga puluh tahun lebih. Tetapi pen itu sudah tidak digunakan lagi. Alat mengepam dakwatnya sudah rosak. Lalu pen itu hanya terbaring di atas meja kerja di rumahnya. Pen itu kadang-kadang mengusik jiwanya. Pen itu kadang-kadang menyentuh kalbunya.
Perkara yang membabitkan diri seseorang dengan Allah ialah melangsaikan segala arahan dan suruhan Allah. Napi faham maksudnya, iaitu kalau melakukan dosa, baik besar mahupun kecil hendaklah bertaubat. Istighfar banyak-banyak dengan menanam azam tidak akan melakukan dosa itu lagi. Wang yang hendak dibawa ke Makkah mestilah bersih. Maksudnya ialah, wang itu mesti diperoleh dari sumber yang halal. Kalau belum bayar zakat, tunaikan zakat dulu.
Napi ingat pula tentang yang membabitkan orang lain. Membabitkan hubungan sesama manusia. Ia banyak perkara. Ia menyebabkan Napi termenng panjang. 

Berkelahi membabitkan manusia lain. 

Bertengkar membabitkan manusia lain. 

Mengutuk orang membabitkan manusia lain. 
Mengumpat orang membabitkan manusia lain. 

Mencuri barang orang membabitkan manusia lain. 

Semuanya membabitkan dosa sesama manusia lain yang mesti dibersihkan. 
Napi ingat. 

Dia tidak pernah berkelahi. 

Dia tidak pernah bertengkar. 

Dia tidak pernah membuat kutukan. 

Dia tidak pernah melakukan umpatan. 

Tiba-tiba Napi nampak pen di atas meja yang sudah berusia lebih tiga puluh tahun itu. Pen itu banyak berjasa padanya. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah rendah. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah menengah. Dan dengan pen itu juga dia mencatat apa saja nota semasa dia di universiti dan seterusnya menduduki peperiksaan yang membolehkannya menggenggam ijazah pertama, Sarjan Muda Dengan Kepujian. Kemudian dia bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di sebuah kementerian. Akhirnya dia dilantik sebagai Pegawai Daerah (DO) di negerinya. 

Lama Napi merenung pen sebatang itu. 

Lama Napi menilik pen sebatang itu. 

Lama Napi pandang pen itu. 

Lama Napi tengok pen itu. 

Napi nampak dirinya dalam kedai Pak Abu di kampungnya. Ketika itu dia dalam darjah lima sekolah rendah. Dia nampak dirinya mencapai pen di dalam almari kaca di kedai Pak Abu ketika Pak Abu ke belakang mengambil gula. Napi nampak dia memasukkan pen itu ke dalam saku seluarnya kemudian membayar harga gula lalu pulang ke rumahnya. 

Sebelum mendapatkan pen itu, dia berkali-kali meminta ibunya membelikannya sebatang pen. Tetapi ibunya menjawab tidak ada duit. Dia terus meminta. Tetapi ibunya mendiamkan diri. Berkali-kali dia minta dibelikan pen. Ibunya tidak indahkan juga. 

Lalu apabila dia berjaya mencuri pen di kedai Pak Abu itu, Napi tidak lagi merungut kepada ibunya hendakkan pen. Dia terus belajar. Napi terus ke sekolah dengan berjalan kaki. Dia terus membawa bekal nasi goreng dengan sebotol air kosong ke sekolah hari-hari kerana ibunya tidak memberinya wang saku. 

Dalam berjalan ke sekolah, Napi nampak wajah ibunya yang uzur. Ayahnya entah ke mana. Dia tahu ayahnya sudah bertahun-tahun tidak pulang. Lalu ibunya yang uzur itu menyara hidup dan dirinya dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Napi menjaga pen itu seperti menjaga emas. Dia gunakannya dengan cermat. Kalau pen itu basah dia lapkan dengan sapu tangan. Apabila pulang ke rumah pen itu diletakkan di tengah-tengah meja. Napi bimbang pen itu jatuh ke lantai. 

Napi terus ke sekolah menengah berasrama penuh setelah mendapat lima A dalam peperiksaan penilaian darjah lima. Napi mendapat biasiswa penuh setelah siasatan terhadap keluarganya dijalankan. Lalu dia belajar dengan tekun. Napi berjimat dengan wang. Kalau ada wang lebih belanja, dia kirimkan kepada ibunya. Napi bawa bersama pen curiannya. Dia sudah lupa sama sekali bahawa pen itu adalah pen curi. 

Apabila Napi memasuki universiti, pen itu dibawanya lagi. Hingga beberapa tahun dia bekerja pun, pen itu masih menemaninya hinggalah pen itu rosak pamnya dan tidak ada pam penggantinya. Lalu pen itu Napi simpan di atas mejanya. 

Derap kaki menghampiri mejanya mengejutkan Napi. Dia menoleh. Dia nampak isterinya, Zizah. 

“Milah telefon, dia nakkan komputer,” kata Zizah. 

“Okey.” jawab Napi. 

“Abang okey saja dengan kehendak Milah.” 

Napi mendongak pada wajah isterinya Zizah. 

“Nanti manja budak tu.” 

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Kenapa dengan abang?” 

“Zah tak tahu susahnya abang belajar dulu.” 

Zizah diam. 

“Abang tak pernah dapat walaupun sebatang pen daripada mak abang untuk belajar dulu.” 

Zizah menarik sebuah kerusi lalu duduk di sebelah Napi. Wajahnya pada wajah suaminya itu yang kelihatan seperti mengimbau kenangan zaman silam. Dia menunggu. 

“Itu, itu, pen yang terbaring di atas meja itu,” kata Napi. 

Zizah memandang pen itu. Dia tahu pen itu sudah lama di situ. Dia ingat juga bahawa dia tidak boleh mengalihkan pen itu ke tempat lain. Suaminya melarang dia menyentuh pen itu. Batangnya sudah berkarat. Dia hairan juga. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana ia cuma sebatang pen, bukan perempuan yang harus dia cemburu. 

“Pen itu pen curi Zah. Masa abang darjah lima dulu orang lain dalam darjah abang semua pakai pen, tapi abang masih gunakan pensil. Abang malu kerana selalu diperli. Laku abang curi pen itu di kedai Pak Abu. “ 

“Ah! Cuma sebatang pen, bang.” 

“Benar. Apalah sangat sebatang pen. Tapi bagi abang yang miskin ini, terasa.” 

“Jadi sebab itu sebarang apa saja kehendak Milah untuk belajar abang penuhi?” 
Napi mengangguk. 

Zizah menarik nafas payah. 

“Abang mau dia belajar dengan suka.” 

“Tapi Zah bimbang.” 

“Bimbang apa?” 

“Bukan abang tak tahu zaman moden ini. SMS melalui telefon bimbit. Hal-hal negatif melalui internet.” 

“Abang yakin pada Milah. Telefon bimbitnya untuk senang dia hubungi kita. Komputer yang dimintanya itu untuk dia belajar. Banyak pelajaran akan diperolehnya nanti melalui internet.” 

“Macam mana abang boleh yakin?” 

“Dengan kita selalu hubunginya. Dengan selalu kita bertanya khabarnya. Dan apabila dia balik, kita boleh periksa telefonnya, komputernya.” 
Zizah diam. 

Napi balik memandang pada pen yang terbaring di atas mejanya. 

“Habis, yang Zah tengok abang kadang-kadang runsing semacam tu kenapa?” 

“Pen itu mengganggu emosi abang.” 

“Kenapa?” 

Mata Napi bulat pada wajah isterinya Zizah. 

“Kenapa bang?” 

“Tadi kan abang beritahu Zah, bahawa pen itu pen curi?” 

“Ah! Ia cuma sebatang pen, bang.” 

“Tapi ia tetap barang curi. Dosa abang mencuri pen itu masih ada.” 

“Lalu?” 

“Kita nak ke Makkah lepas puasa nanti kan,” Napi memandang wajah isterinya. 

Zizah sadin. 

“Abang kena bersihkan diri abang. Zah juga. Kalau tak, haji kita nanti tergantung,” kata Napi. 

Zizah tunduk. 

Napi memandang kepala Zizah yang tunduk. Dia kemudian mencapai terjemahan al-Quran. Dia membuka pada surah Az-Zalzalah. Dia membaca. Dan penumpuan Napi terus pada ayat tujuh, ‘Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).’ Napi terus kepada ayat lapan, ‘Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya’). 

Nabi membaca pula nota kaki di bawah, ‘Dua ayat itu menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalnya sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang sebesar debu sekalipun. ‘ ( Rujukan: Tafsir Ar-Rahman terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri m/s 1714.) 

Napi ingat ayat itu sudah berkali-kali didengarinya dari mulut Ustaz Zuki. Dia sendiri juga sudah berkali-kali membaca ayat itu. Lalu Napi balik memandang pen di atas meja yang amat berjasa padanya. 

Napi ingat benar bahawa pen itu, pen curi. Dengan demikian dia telah melakukan satu dosa yang membabitkan dirinya dengan manusia lain. Dan manusia lain dalam kes pen itu ialah Pak Abu. 

Berkali-kali pula mulut Napi kemudian membisikkan nama Pak Abu. Kedai Pak Abu sudah tidak ada. Pak Abu sekarang sudah tua. Sekali-sekali dia jumpa Pak Abu pada hari Jumaat di masjid dengan kerusi. Pak Abu hanya ke masjid pada hari Jumaat. Dia sudah terlalu uzur. Pak Abu sembahyang dengan duduk di atas kerusi. 

Napi ingat jasa pen itu. Dia lulus dalam semua peperiksaan. Pen itu juga membawanya ke meja kerjanya sebagai PTD. Jasa pen itu membolehkannya menerima gaji ribuan ringgit tiap-tiap bulan. Jasa pen itu yang membolehkan mengumpulkan wang hingga mampu menghantarkan ibunya ke tanah suci Makkah dan ibunya meninggal ketika wukuf di Arafah. 

Sekarang dia pula hendak ke Makkah. 

Wangnya mesti dari sumber yang halal. 

Napi ingat sangat itu. 

Napi ingat dia menghadap Ustaz Zuki. Dia tidak malu menceritakan bahawa dia mencuri sebatang pen dari kedai Pak Abu. Napi terangkan jasa pen itu. 

Dia nampak wajah Ustaz Zuki senyum lembut padanya. 

Tuan kena bersihkan. Napi ingat kata Ustaz Zuki. 

Napi ingat dia mendongak pada wajah Ustaz Zuki. 

Kalau tuan tak malu ceritakan pada saya, kenapa tuan harus malu nak jumpa Pak Abu? Jumpalah dia. Mohon ampun, mohon halalkan pen itu. Kalau boleh tuan belikan sebatang pen berikan kepada Pak Abu. 

Wajah Napi masih pada wajah Ustaz Zuki. 

Itu saja caranya membersihkan diri tuan dengan Pak Abu itu. 

Napi ingat dia mengangguk. 

Dan Napi ingat dia menanam azam untuk menemui Pak Abu. Lalu dia membeli sebatang pen Parker siap dengan kotaknya sekali. Napi membuka laci mejanya. Dia capai kotak pen Parker. Dia genggam kotak itu. 

“Abang ingatkan apa dengan pen itu?” 

Napi menoleh pada Zizah isterinya di sebelah. 

“Abang nak jumpa Pak Abu. Dia sudah uzur.” 

“Abang nak mengaku yang abang curi pennya dulu?” 

Napi mengangguk. 

“Tak malu ke abang?” 

Napi diam. 

“Bekas DO mengaku mencuri pen?” 

“Abang malu pada Allah,” desis Napi. 

Zizah meluaskan matanya pada wajah suaminya Napi. 

“Pak Abu hanya manusia biasa. Abang tahu. Tapi abang tetap sebagai pencuri sebatang pen dari kedainya. DO pangkat abang itu masa bekerja. Tapi Zah kena ingat pangkat itu abang peroleh adalah jasa dari pen sebatang yang abang curi itu. “ 

Zizah berdiri lalu keluar dari bilik kerja Napi. 

Petang itu selepas sembahyang Asar di masjid, Napi ke rumah Pak Abu yang tidak jauh dari masjid. Di tangannya kotak pen Parker. Setelah memberi salam, Napi dijemput masuk ke ruang tamu rumah Pak Abu. 

Agak sejurus Pak Abu keluar dengan bertongkat lalu lambat-lambat duduk di kerusi sebelah Napi. 

“Allah Tuan,” kata Pak Abu apabila tangannya dicapai oleh Napi lalu menciumnya lembut. 

Mata Napi pada wajah Pak Abu. 

“Apa hajat tuan ke mari,” tanya Pak Abu. 

Napi segera menyerahkan kotak pen Parker itu kepada Pak Abu. 

“Apa ini tuan,” Pak Abu membuka kotak itu. Dia nampak sebatang pen Parker. Lalu matanya pada wajah Napi bekas pegawai daerah yang pernah ditemui dan selalu memanggilnya tuan itu. Lama matanya pada wajah Napi. 

Napi menahan perasaan. Dia mengawal gelodak rasa terharu dalam kalbunya. 
“Kenapa tuan?” 

“Pak Abu ingat tak mak saya?” 

“Ingat. Mek Som. Dia meninggal di Makkah kan?” 

“ Pak Abu ingat tak kami miskin masa itu?” 

“Saya ingat. Tapi tuan tidak pernah berhutang di kedai saya. Walau secupak beras, tuan bayar tunai,” kata Pak Abu. 

Napi tidak dapat mengawal dirinya lagi mendengar kalimat itu. Dia memandang wajah Pak Abu dengan mata berkaca. Tidak lama kaca-kaca dalam matanya itu kemudian bertukar air mata lalu ia mengalir laju. 

“Kenapa tuan? Ada saya tersalah cakap?” Wajah Pak Abu kehairanan. 

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya. 

Pak Abu masih memandang wajah Napi. 

Napi kemudian duduk lalu memegang lutut Pak Abu. 

“Kenapa tuan?” 

“Saya minta maaf dengan Pak Abu,” wajah Napi pada kedua lutut Pak Abu. 

“Saya tak faham tuan. Kenapa begini? Tak baik dilihat orang,” tangan Pak Abu mencapai lengan Napi dan berusaha untuk mengangkatnya. 

Napi mendongak. 

“Pak Abu memang tak sedar. Pak Abu memang tak ingat.” 

“Apa dia tuan?” 

“Saya curi sebatang pen di kedai Pak Abu dulu.” 

Pak Abu senyum. 

Napi balik duduk pada mejanya. 

“Saya minta maaf dan minta dihalalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi pula. 

“Ah! Masa itu tuan budak. Cuma nakal, bukan jahat.” 

“Tapi saya tetap mencuri pen Pak Abu. Maafkan saya Pa Abu.” 

“Jadi ini, sebagai ganti pen itu?” Pak Abu angkat kotak pen Parker. 

Napi mengangguk. 

“Ini mahal tuan. Pen yang tuan curi dulu murah saja.” 

“Pen seperti itu sudah tak ada sekarang.” 

“Terima kasihlah tuan,” Pak Abu menghulurkan tangannya ke hadapan Napi. 
Napi menyambut tangan Pak Abu. “Maafkan saya, halalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi. 

“Saya rasa syukur, kerana pen itu tuan boleh belajar dengan baik. Tuan mengaku curi pen itu. Saya hargai ikhlas tuan. Saya halalkan pen itu untuk tuan. Saya maafkan kalau itu dikira dosa tuan terhadap saya. Dunia akhirat. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” kata Pak Abu. 

Napi lalu mendakap badan Pak Abu. Mereka berpelukan. 

“Terima kasih Pak Abu, “ desis Napi. Lalu badan mereka berpisah. 

“Tapi pen ini? Saya tak menulis lagi sekarang. Tangan dah menggigil.” kata Pak Abu. 

“Pak Abu kena terima. Ikhlas daripada saya. Tanda sesal saya pada Pak Abu.” 
Pak Abu mengangguk. Dia lalu memegang pen Parker itu kemas-kemas. 

Dengan ucapan memohon maaf sekali lagi kepada Pak Abu, Napi lalu memohon diri untuk pulang. Kepalanya terasa ringan. Dadanya rasa lapang. 

INFO Penulis 

NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

No comments: