Pages

Saturday, October 23, 2010

Indonesia didesak henti kebakaran





2010/10/23


  • Foto
    SATU pasangan berehat di kolam mandi bertentangan pusat bandar Singapura yang diselimuti jerebu dipercayai asap kebakaran hutan di Sumatera.
  • Foto
    ANGGOTA bomba Indonesia memadamkan api di kawasan hutan Bengkalis, wilayah Riau di Pulau Sumatera, semalam.
Kesihatan warga Singapura terjejas, Jakarta kerah 300 anggota bomba padam api

SINGAPURA: Singapura semalam mendesak Indonesia segera memadamkan kebakaran di Sumatera yang menjadi punca pencemaran udara teruk dan masalah kesihatan di Kota Singa dan Malaysia, menyebabkan Jakarta menghantar 300 anggota bomba ke pulau berkenaan.
Menteri luar, George Yeo dilaporkan menghubungi rakan sejawatnya melalui telefon, Marty Natalegawa untuk melahirkan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin buruk dan menyatakan kesediaan Singapura untuk membantu memadamkan kebakaran, kata satu kenyataan kerajaan.
Natalegawa memberi jaminan kepada Yeo bahawa Jakarta akan berusaha menangani masalah jerebu, sambil menambah bahawa kesihatan ramai warga Sumatera juga turut terjejas, kata Kementerian Luar Indonesia.

Malaysia juga menyalahkan kebakaran di Sumatera sebagai punca mutu udara di beberapa bandar selatan semakin teruk.

Pencemaran udara di Singapura mencecah tahap tidak sihat semalam berikutan asap dari kebakaran yang dikatakan berpunca dari pembersihan tanah untuk pertanian dan perladangan di Sumatera.

Bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) selama tiga jam meningkat kepada 108 petang kelmarin di Singapura yang mencetuskan amaran kesihatan berikutan bacaan melebihi 100 disifatkan sebagai tidak sihat. 
Ia kemudian menurun kepada 83 tengah hari semalam tetapi rakyat Singapura terus memberikan langkah berjaga-jaga termasuk memakai topeng muka bagi melindungi kanak-kanak dan mereka yang mengalami masalah pernafasan seperti asma.

Kebanyakan kebakaran yang berlaku di Sumatera adalah berpunca daripada pemilik tanah kecil yang menjalankan kerja membersihkan pokok di kawasan tanah gambut untuk penanaman kelapa sawit dan juga tanaman lain.

“Kami melakukan usaha untuk mengawal kebakaran. Ia amat sukar terutama di kawasan tanah gambut,” kata Menteri Perhutanan, Zulkifli Hasan kepada pemberita.

Ketua bomba hutan Indonesia, Noor Hidayat berkata, 300 anggota bomba tambahan dihantar ke kawasan yang terjejas teruk di wilayah Riau, Sumatera yang terletak bertentangan dengan Singapura merentasi Selat Melaka.

Kebakaran memuncak pada Ahad lalu apabila sebanyak 351 kawasan panas dicatatkan di Sumatera termasuk 144 di Riau. Hanya 51 kebakaran direkodkan di seluruh Sumatera, kelmarin.

Jerebu mencapai tahap paling buruk pada 1997 dan 1998 menyebabkan kerugian di rantau Asia Tenggara yang dianggarkan sebanyak AS$9 bilion (RM28.8 bilion). – AFP

FAKTA NOMBOR

51 kawasan
 - Kebakaran direkodkan di seluruh Sumatera Khamis lalu

No comments: