Pages

Saturday, October 23, 2010

'Mimpi ngeri berakhir'


SYUKUR...Shafika dicium ibu dan bapanya sebaik tiba di LCCT, malam tadi.
SYUKUR...Shafika dicium ibu dan bapanya sebaik tiba di LCCT, malam tadi.
SEPANG: “Syukur Alhamdulillah, mimpi ngeri sudah berakhir, lupakan segala yang berlalu, saya nak Shafika sambung belajar selepas ini,” kata Mazanah Abdul Latif, 38, ibu remaja perempuan yang dilarikan teman lelakinya ke Lombok, Jawa Tengah, Indonesia, 4 September lalu.
Mazanah berkata, keluarga dan penduduk kampung akan mengadakan kenduri kesyukuran sempena kepulangan anak sulungnya selepas lebih sebulan berada di pulau berkenaan.

“Kami sekeluarga tidak pernah marah pada Shafika dan kami amat berterima kasih pada Kelab Putera 1Malaysia serta Umno Baling yang membantu membawa pulang Shafika ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui ketika menyambut ketibaan ShafikaMarlina Mohd Safiee, 16, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, malam tadi.


Sementara itu, Shafika Marlina yang tiba dari Surabaya, Indonesia, kira-kira jam 9.46 malam tadi meluru dan memeluk ibu bapanya, Mohd Safiee Sardi, 43 dan Mazanah yang mengharungi perjalanan lebih 100 kilometer dari Teluk Intan, Perak, semata-mata menyambut anak kesayangan mereka.

Dia juga memeluk dua adiknya iaitu Mohd Shafiq, 13 dan Mohd Syamil Ikmal, 7, sambil menangis tanpa menghiraukan orang ramai di sekelilingnya.

Bagaimanapun, tangisannya reda apabila ditenangkan ibu bapa serta Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang hadir menyambut kepulangannya.

Ketika ditemubual, remaja itu mengakui menyesal kerana terlalu mengikut kata hati dengan mengikut teman lelakinya ke Lombok sehingga membelakangkan keluarga.

“Saya mohon maaf dan menyesal tinggalkan keluarga tanpa izin,” katanya.

Kepulangan remaja itu diiringi Setiausaha Agung kelab, Abdul Khalid Chairul yang diberi tanggungjawab oleh kelab berkenaan untuk membawa pulang gadis itu ke tanah air.

Shafika Marlina dilaporkan hilang 4 September lalu selepas dihantar ayahnya di depan sebuah bank di Bandar Baru Teluk Intan, Perak, kira-kira jam 9.15 pagi untuk membayar bil telefon.

Bagaimanapun, dia tidak pulang ke rumah sebelum kehilangannya disedari kira-kira jam 9 malam pada hari sama, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu, kemudian membuat panggilan kepada bapanya lima hari kemudian memaklumkan dia berada di Lombok bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya dikenali sebagai ‘Misbah’, 20 yang bekerja di sebuah ladang getah di Ladang Rubana di Perak.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kisah Shafika perlu dijadikan iktibar remaja lain supaya tidak mudah termakan pujukan orang asing.

No comments: