KOMBINASI imej Tatsuya Ichihashi sebelum dan selepas (kanan) dia ditangkap berikutan gerakan besar-besaran pihak berkuasa. |
Lindsay Hawker |
Mahkamah Jepun kekal hukuman penjara seumur hidup
TOKYO: Mahkamah Tinggi Tokyo semalam mengekalkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang rakyatnya, Tatsuya Ichihashi, 33, yang didapati bersalah merogol dan membunuh guru warga Britain Lindsay Hawker, 22, sebelum mencampakkan mayat wanita itu ke dalam tub mandi dan ditimbus pasir.
Ichihashi tinggal di pangsapuri lokasi mayat Hawker yang berasal dari Warwickshire, ditemui pada 2007. Dia berjaya menghindari pihak berkuasa selama hampir tiga tahun selepas melarikan diri, sejurus polis tiba untuk menyoal siasat.
Ichihashi juga mencacatkan wajah bagi mengubah penampilannya. Dia bagaimanapun berjaya ditangkap di Osaka pada November 2009.
Polis sebelum itu menjalankan usaha besar-besaran memburunya selain menawarkan hadiah wang 10 juta yen (RM378,800) kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai Ichihashi. Seorang pakar bedah plastik kemudian menghubungi polis dan maklumat yang diberikan membolehkan pihak berkuasa menangkapnya.
Seorang pelajar yang disifatkan polis sebagai pendiam, Ichihashi menulis buku menceritakan mengenai kehidupannya ketika menjadi ‘pelarian’. Buku itu diterbitkan tahun lalu dan mendapat sambutan hebat.
Ichihashi dalam rayuan yang dikemukakan di sebuah mahkamah daerah Julai lalu, menyatakan bahawa dia tidak berniat membunuh mangsa. Dia juga mendakwa tidak menyedari mangsa sesak nafas dan cuba memulihkannya.
Agensi berita Kyodo melaporkan, Hakim Yoshinobu Lida ketika menolak permohonan rayuan itu menegaskan, bahawa Ichihashi memang mempunyai niat membunuh dan lelaki itu menjadikan perbuatan kejam serta ganas sebagai satu cara memuaskan keinginannya.
Peguam bela Ichahashi dalam rayuannya berkata, hukuman ke atas anak guamnya terlalu keras dan berkata kejadian itu satu kemalangan.
Bagaimanapun, pendakwa menegaskan pembunuhan Hawker sudah dirancang dan Ichihashi dengan sengaja mencekik wanita itu selepas merogolnya. Mereka mengulangi kenyataan ini pada sesi rayuan dan berkata, hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan adalah wajar.
“Pada satu ketika dalam perbicaraan Ichihashi mengaku merogol dan membunuh Hawker, tetapi berkata berlaku secara tidak sengaja apabila dia cuba menutup mulutnya bagi mengelakkan jeritan wanita itu didengar.
Ibu bapa Hawker, Julia dan William menggesa supaya Ichihashi dihukum mati, tetapi selepas perbicaraan pada Julai, mereka mengaku berpuas hati dengan keputusan.
Keluarga mereka tidak hadir pada perbicaraan tetapi mengeluarkan kenyataan yang menyebut: “Kami berasa lega kerana keputusan asal dikekalkan dan rayuan Ichihashi ditolak.”
Jepun adalah satu-satunya negara maju selain Amerika yang melaksanakan hukuman mati. – Reuters/Agensi
No comments:
Post a Comment