Pages

Thursday, April 12, 2012

Pengantin perempuan menipu hidap barah kena dakwa

 VEGA mencuba gaun perkahwinannya di New York, sebelum upacara perkahwinan pada 8 April 2010.
VEGA mencuba gaun perkahwinannya di New York,
sebelum upacara perkahwinan pada 8 April 2010.

NEW YORK: Seorang pengantin perempuan yang melakukan penipuan dengan mendakwa dirinya menghidap barah dan akan meninggal dunia semata-mata untuk mendapatkan dana bagi membiayai majlis perkahwinan besar-besaran dan berbulan madu, bakal berdepan tuduhan jenayah kerana menipu.

Malah, Jessica Vega, 25, dari New York, juga menipu bakal suaminya dengan mengatakan menghidap leukemia dan hanya mempunyai masa kurang setahun untuk hidup. Dia berdepan dengan hukuman penjara 24 tahun jika sabit kesalahan.
Vega ditahan minggu lalu dan mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan termasuk mencuri pada skala besar dan tuduhan melakukan penipuan.
Dia kini ditahan di Penjara Orange County Jail, New York dengan jaminan $10,000 (RM30,617). 

Peguam Negara, Eric Schneiderman ketika memberitahu Times Herald-Record berkata, dengan berpura-pura menghidap penyakit yang membawa maut, Vega meraih simpati daripada orang ramai dan mendapat keuntungan daripada kemurahan mereka. 

“Pejabat kami akan menahan individu ini kerana bertanggungjawab memperdaya orang ramai melalui penipuan,” katanya. 

Vega mengahwini Michael O'Connell, yang juga bapa kepada anak perempuannya Lily, berusia setahun, pada 2 Mei 2010 dan pasangan itu menghabiskan bulan madu eksotik di Aruba menggunakan tiket penerbangan yang disumbangkan kepada mereka. 
Majlis perkahwinan itu dihadiri 60 keluarga dan rakan yang mendermakan wang kerana simpati dengan keadaan Vega. – Reuters/Agensi

No comments: