Pages

Thursday, April 12, 2012

Korea Utara tekad lancar roket





PYONGYANG - Korea Utara semalam mengumumkan ia sedang mengisi bahan api ke dalam sebuah roket yang akan dilancarkan semasa sambutan ulang tahun bersejarah sempena penganugerahan gelaran baharu kepada pemimpin negara berkenaan, Kim Jong-Un.
"Proses menyuntik bahan api sedang dilakukan dan akan selesai dalam masa terdekat," kata Pengarah Pusat Kawalan Misi Korea Utara, Paek Chang-Ho kepada sekumpulan wartawan asing.
Pyongyang dijadualkan melakukan pelancaran dalam tempoh lima hari bermula hari ini.
Menurut kenyataan Pyongyang, pelancaran itu bagi meraikan ulang tahun ke-100 kelahiran pengasas negara Korea Utara, Kim Il-Sung pada 15 April ini.
Roket berkenaan direka bagi menghantar sebuah satelit pemerhati di orbit Bumi.
Namun, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyatakan misi itu sebenarnya merupakan ujian peluru berpandu balistik Korea Utara sekali gus melanggar larangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Alasan yang sama juga digunakan apabila Korea Utara mendakwa ia telah meletakkan sebuah satelit di orbit pada 2009 tetapi beberapa pakar asing menyatakan tiada satelit baharu dikesan sebaliknya ia merupakan misi untuk menguji peluru berpandu jarak jauh. - AFP

No comments: