ISLAMABAD 11 April - Sejak ketua kumpulan pengganas al-Qaeda dibunuh oleh komando elit Amerika Syarikat (AS) pada Mei tahun lepas, kehidupan balu, anak dan cucu Osama bin Laden dikawal ketat ketika Pakistan menentukan masa depan mereka.
Kini, stesen televisyen Al Arabiya mendedahkan kehidupan mereka dalam sebuah 'rumah tetamu' di Islamabad.
Rumah itu didiami oleh tiga balu Osama bersama sekurang-kurangnya lima anak mereka serta beberapa cucunya yang dipercayai masih hidup.
Dalam rakaman video tersebut, beberapa kanak-kanak dapat dilihat sedang bermain dengan patung anak beruang dan kayu pemukul kriket, manakala tiga balu Osama melihat gelagat mereka.
Balu-balu Osama juga dilihat sedang membaca al-Quran.
Bagaimanapun, tingkap rumah itu ditutup dengan papan lapis dan kehadiran anggota bersenjata di luar rumah tersebut menunjukkan ia bukan sahaja menjadi tempat kediaman tetapi juga sebagai tempat tahanan mereka.
Mereka dipercayai tinggal bersama Osama ketika komando AS menyerbu rumah mereka yang menjadi kubu Osama di Abbotabod, Pakistan pada Mei tahun lepas.
Keluarga Osama itu kini menjalani hukuman penjara selama 45 hari kerana memasuki Pakistan secara haram tetapi pada hakikatnya mereka ditahan sejak ditangkap pada Mei tahun lalu.
Pihak berkuasa Pakistan secara rasminya menangkap wanita-wanita berkenaan pada 3 Mac lalu dan mereka kini menjalani hukuman penjara selama dua minggu sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.
Peguam keluarga Osama itu, Mohammed Amir Khalil berkata, dua balu Osama berasal dari Arab Saudi dan seorang lagi adalah rakyat Yemen. - Agensi
No comments:
Post a Comment