Beberapa hari selepas kewafatan Rasulullah, para Sahabat berkumpul di hadapan rumah Sayidina Abu Bakar As Siddiq. Mereka ingin mendengar kata-kata penyejuk hati dan pengubat duka yang menimpa.
Sayidina Abu Bakar masih berada di dalam rumah. Dadanya terasa sebak. Sedang hatinya masih dilanda kerunsingan dan kesedihan. Ingatan kepada Rasulullah tak pernah putus.
Sayidina Abu Bakar cuba duduk untuk menenteramkan hatinya. Ia terkenang kembali saat-saat indah yang dilaluinya semasa Hijrah bersama Rasulullah. Dan peristiwa semasa bersembunyi di Gua Tsur adalah kenangan yang tak akan dilupakannya.
Sebelum masuk ke gua yang gelap dan sempit itu, ia terlebih dahulu memeriksa semak dan belukar agar tidak ada binatang berbisa yang mengancam keselamatan Rasulullah. Semua lubang disumbatnya dengan sobekan serban dan gamisnya. Barulah kemudian Rasulullah dipersilakan masuk.
Kerana letihnya Rasulullah, baginda tertidur di pangkuan sahabatnya itu. Baginda tidur dengan lena. Nafas baginda yang berbau harum, menghembus lembut bagaikan aliran air di Wadi Jalilah. Sedang di hujung kaki baginda, masih ada satu lubang yang masih belum ditutup.
Abu Bakar merasa bimbang sekiranya lubang itu dihuni oleh binatang berbisa. Tetapi dia tidak sampai hati untuk membangunkan Rasulullah. Perlahan-perlahan Abu Bakar menggerakkan kakinya untuk menutup lubang tersebut.
Ternyata apa yang dibimbanginya adalah benar. Lubang tersebut dihuni oleh binatang berbisa. Sebuah gigitan yang cepat dan memedihkan melukai tapak kakinya. Gigitan itu makin lama makin pedih. Dan sampai ke paras mata kaki, ia kelihatan biru dan bengkak.
Abu Bakar amat kesakitan. Begitu pedihnya sehingga dia terpaksa mengetap bibirnya. Lalu...beberapa titis air matanya jatuh di pipi Rasulullah. Dan Rasulullah terjaga. Baginda amat terperanjat melihat wajah Abu Bakar.
"Engkau menangis, sahabatku? Kenapa wajahmu pucat?" tanya Rasulullah sambil bangkit dari pembaringan.
Abu Bakar masih diam. Dia tidak sampai hati untuk menceritakan apa yang menimpa. Dia bimbang Rasulullah akan susah hati di tengah-tengah perjalanan yang sememangnya penuh kesusahan. Tetapi Rasulullah memahami peristiwa yang sedang berlaku.
"Engkau digigit haiwan berbisa, sahabatku?"
Abu Bakar mengangguk perlahan.
"Di bahagian mana?" tanya baginda dengan tatapan mata penuh simpati.
"Di bahagian kaki kiri," jawab Abu Bakar sambil menahan sakit.
Mendadak dada Abu Bakar jadi gemuruh. Bukan oleh kesakitan yang semakin merebak. Tetapi oleh tindakan Rasulullah yang tidak pernah disangka-sangkanya. Nabi yang agung itu mengangkat kaki kiri Abu Bakar, lalu menempelkan mulutnya pada bekas sengatan itu. Kemudian menghisapnya berulang kali, mengeluarkan darah yang terkena racun sampai bersih.
Dan sungguh...betapa agungnya peribadi itu. Rasul yang mampu memberikan kasih sayang sejati di mana mana, bila-bila masa serta dalam bentuk apa sahaja. Rasul yang bersedia susah dan hidup miskin agar umatnya terbebas dari kemelaratan. Rasul yang rela beribadah sampai kakinya bengkak-bengkak, demi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan umatnya. Dan tidak ada siapa menginginkan peribadi mulia itu pergi untuk selama-lamanya.
Lamunan Abu Bakar dikejutkan oleh panggilan beberapa orang Sahabat. Abu Bakar melangkah dengan perlahan, mendapatkan para Sahabat yang telah sedia berkumpul di luar rumah.
"Saudara-saudaraku...jika engkau kehilangan, aku lebih kehilangan. Jika engkau berduka, aku lebih berduka," ujar Abu Bakar berdiri dengan tenang di hadapan para Sahabat.
"Namun kita tidak boleh menyerah kepada musibah. Sebab betapa pun kita cuba mengelak, tetapi setiap ketentuan Ilahi pasti terjadi. Bukankah Rasulullah yang sama-sama kita cintai pernah bersabda bahawa kita di dunia ini hanyalah ibarat musafir yang singgah sekejap dalam perjalanan panjang yang amat jauh.
Jadi, bukan di sini untuk kita menjalin pertemuan hakiki. Tetapi...nun di Akhirat sana, tempat yang semua kita akan tuju. Di sanalah pertemuan abadi akan kita nikmati dengan Rasulullah yang kita cintai," ucap Abu Bakar lagi.
"Betulkah kita boleh berkumpul semula dengan Rasulullah?" keluh seorang Sahabat.
Pasti...pasti kita akan menemui baginda semula selagi kita sama-sama menempuh jalan yang telah ditempuhi baginda," tegas Sayidina Abu Bakar memberikan keyakinan.
Di atas kecintaan dan keyakinan itulah perjuangan Rasulullah disambung oleh para Sahabat, sehinggalah Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Dan kini....kecintaan dan keyakinan itu perlu disemai dan dimiliki semula, demi tertegaknya syiar Islam yang agung.
Wallahu 'A'lam bis Sowaab.
Semoga kita tergolong di dalam golongan yang memperjuangkan agama Allah SWT yang di bawa oleh Rasulullah SAW. InsyaAllah.
Memperingati peristiwa hijrah Nabi dan sahabat~
Barang siapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah An Nisaa Ayat 100)
No comments:
Post a Comment