Pages

Thursday, April 12, 2012

2,000 penduduk bertempiaran lari

ANGGOTA paramedik membawa mangsa   mengalami kecederaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), semalam.
ANGGOTA paramedik membawa mangsa mengalami
 kecederaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), semalam.
 

Bimbang ancaman tsunami kedua 

SUNGAI PETANI: Lebih 2,000 penduduk membabitkan lima kampung di pesisir pantai Kota Kuala Muda di sini, bertempiaran lari meninggalkan rumah masing-masing berikutan bimbang berlaku ancaman tsunami gelombang kedua seperti mana yang pernah berlaku di kawasan itu pada 2004.
Kebanyakan penduduk bergegas meninggalkan rumah menuju ke Dewan Serbaguna Tunku Intan Shafinaz di Jalan Permatang Katum di sini, sebagai langkah keselamatan menghadapi sebarang kemungkinan selepas merasai gegaran kuat.
Penduduk dari Kampung Tepi Sungai, Kampung Masjid, Kampung Padang Salim, Kampung Keda Tepi Sungai dan Kampung Kepala Jalan mula meninggalkan rumah masing-masing selepas mendapat arahan pihak berkuasa. 

Tinjauan Berita Harian mendapati air di kawasan pantai juga surut selain udara sejuk yang didakwa penduduk sebagai satu petanda tsunami sama seperti yang berlaku pada 2004. 

Penduduk, Shuib Mat Azmi, 65, dari Kampung Kuala Tepi Sungai, berkata gegaran berlaku ketika dia sedang bersembahyang selepas badannya terasa terhuyung-hayang. 

“Selesai solat saya mengarahkan keluarga melarikan diri ke tempat selamat,” katanya. 
Shuib berkata, tsunami 2004 masih menghantui penduduk dan meninggalkan kesan trauma selama-lamanya. 

Rohana chik, 42, dari Kampung Masjid, berkata dia mendapat tahu mengenai ancaman tsunami ketika menonton televisyen menyebabkan dia dan keluarga meninggalkan rumah. 

“Saya ikut seperti yang diarahkan pihak berkuasa dalam latihan tsunami sebelum ini dan pergi ke dewan di Taman Permatang Katong,” katanya. 

Di Alor Setar, suasana cemas menyelubungi penduduk di sekitar bandar raya ini terutama kepada pengunjung pusat beli-belah dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). 

Di HSB, lebih 500 pesakit, pelawat dan kakitangan HSB di sini, bertempiaran keluar dari bangunan itu sejurus merasai gegaran kira-kira jam 4.40 petang. 

Di Langkawi, ribuan pelancong yang menginap di hotel dan chalet sekitar pekan Kuah, Padang Matsirat dan Pantai Chenang di sini turut bergegas keluar ke kawasan lapang sebaik saja gegaran berlaku.
-bharian

No comments: