Pages

Thursday, April 12, 2012

TV siar gambar keluarga Osama

LONDON: Rangkaian televisyen Arab, Al Arabiya semalam mendakwa memperoleh rakaman di ‘rumah tetamu’ di Islamabad, tempat isteri dan anak Osama bin Laden ditahan.
Keluarga bekas pemimpin al-Qaeda itu ditahan di rumah berkenaan hampir setahun lalu selepas komando tentera Amerika Syarikat menembak mati Osama.

Video itu menunjukkan kanak-kanak bermain dengan patung beruang dan kayu kriket sementara tiga isteri Osama memantau mereka atau asyik membaca kitab suci al-Quran.

Keluarga itu kini menjalani hukuman tahanan 45 hari kerana kesalahan memasuki Pakistan secara haram.
Bagaimanapun, realitinya, mereka dikurung di rumah itu sejak Mei lalu.

Mereka tinggal bersama Osama ketika kediaman mereka diserang komando AS.

Peguam mereka, Mohammed Amir Khalil, berkata pihak berkuasa Pakistan menahan ketiga-tiga wanita itu secara rasmi pada 3 Mac dan mereka akan ditahan selama dua minggu sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing bersama anak-anak mereka.

Dua balu Osama ialah warga Arab Saudi manakala seorang lagi rakyat Yaman.

Khalil berkata, Yaman memberi kebenaran wanita warganya kembali ke negara berkenaan tetapi beliau masih berbincang dengan pegawai Arab Saudi mengenai kedudukan dua lagi balu Osama.

Arab Saudi menarik balik kewarganegaraan Osama pada 1994 selepas dia mengecam keluarga diraja.


Selain dipenjara, ketiga-tiga wanita itu dikehendaki membayar denda sebanyak 70 pound (RM342) setiap seorang.

Peguam mereka tidak bercadang untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Amal al-Sadeh yang dilahirkan di Yaman, balu termuda dan empat anaknya adalah antara 16 yang ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan yang menyerbu rumah itu selepas pembunuhan Osama. - DM

No comments: