Pages

Thursday, April 12, 2012

Bekas pemimpin China hadapi tuduhan bunuh

Foto
GAMBAR fail Xilai (kanan) dan isterinya, Gu Kailai pada
 upacara pengebumian bapanya di Beijing pada 2007.




Disyaki bersama isteri sebabkan kematian warga Britain

BEIJING: Krisis politik terbesar China dalam tempoh beberapa dekad berikutan penyingkiran jawatan seorang ahli politik yang diramal berpotensi besar, semakin menggemparkan selepas beliau dan isterinya ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan.
Bekas pemimpin Parti Komunis di Chongqing, Bo Xilai yang disifatkan seorang berkarisma, diramal mampu mendaki kuasa di China sebelum dipecat bulan lalu dan digantung daripada Politburo, kelmarin.
Pengumuman mengenai penggantungannya daripada 25 anggota Politburo itu disusuli kejutan menerusi pengumuman bahawa beliau dan isterinya disiasat atas pembunuhan ahli perniagaan Britain, Neil Heywood.

Gu Kailai dan Zhang Xiaojun, ahli perubatan di kediaman Bo terbabit dalam pertelagahan dengan Heywood mengenai ‘kepentingan ekonomi,’ lapor agensi berita Xinhua.

Mereka kini disiasat atas dakwaan membunuh manakala Bo Xilai disyaki terbabit dalam pencabulan disiplin serius yang biasanya merujuk kepada rasuah.

Penganalisis berkata, skandal itu mendedahkan masalah besar dalam parti pemerintah sebelum peralihan kepemimpinan berlaku lewat tahun ini, sesuatu yang biasanya disaksikan setiap satu dekad. 
Akhbar People’s Daily melaporkan, Bo melakukan pencabulan disiplin parti yang serius hingga menjejaskan imej parti dan negara.

Laporan Xinhua dibuat lewat kelmarin, mengesahkan berlaku permasalahan dalaman parti terbabit sejak penyingkiran dilakukan sebelum kekerasan digunakan di Medan Tiananmen pada 1989. – AFP

No comments: