Pages

Thursday, April 12, 2012

Pemimpin pembangkang Rusia ditahan




SERGEI Udaltsov (dua dari kanan) ditahan selepas mengadakan demonstrasi di luar bangunan Parlimen ketika Vladimir Putin berucap di tengah Moscow, semalam. - AFP


MOSCOW 11 April - Pemimpin pembangkang Rusia, Sergei Udaltsov ditahan ketika mengadakan demonstrasi di luar bangunan Parlimen, di sini hari ini ketika Perdana Menteri, Vladimir Putin dijangka berucap buat kali terakhir di Dewan Rendah Parlimen sebelum menjawat jawatan sebagai Presiden Rusia.
Udaltsov yang merupakan pemimpin pergerakan Barisan Kiri itu berkata, saya ditahan dan dimasukkan ke dalam bas polis.
Sejumlah orang lain turut ditahan dalam demonstrasi tersebut selepas berpuluh-puluh aktivis pembangkang yang memakai reben putih, simbol pergerakan 'Pilihan Raya Adil' di Rusia, berkumpul di luar bangunan Parlimen, pagi ini.
''Kami mahu bertanya Putin satu soalan mudah iaitu bila kita akan mengadakan satu pilihan raya yang adil,'' katanya ketika dihubungi agensi berita Rusia, RIA Novosti.
Udaltsov sering ditahan ketika mengadakan demonstrasi dan pernah dipenjarakan pada Disember lalu atas dakwaan berkaitan tunjuk perasaan.
Pilihan raya umum pada Disember lalu dan pilihan raya Presiden pada Mac lalu yang dimenangi Putin didakwa dicemari penyelewengan.
Berpuluh ribu mengadakan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya bagi membantah keputusan pilihan raya tersebut. - Agensi

No comments: