PYONGYANG 11 April - Korea Utara, hari ini menolak bantahan antarabangsa berhubung rancangannya melancarkan roket jarak jauh dan menyatakan telah memasukkan bahan bakar ke dalam roket itu, bermakna pelancaran akan dilakukan seawal-awalnya, esok.
Jika semua berjalan seperti yang dirancang, pelancaran yang disyaki Barat dan Korea Selatan sebagai ujian peluru berpandu balistik, akan melibatkan tiga peringkat pelepasan.
Pelepasan pertama berlaku di semenanjung Korea dan seterusnya di China sebelum melepaskan satelit ke orbit di peringkat ketiga di atas laut berhampiran Filipina.
Negara-negara kuasa serantau turut bimbang pelancaran itu akan menjadi permulaan kepada satu lagi ujian nuklear, sama seperti yang dilakukan oleh negara ini pada 2009.
"Kami tidak terlalu mempedulikan pendapat dari luar. Pelancaran ini penting untuk membangunkan ekonomi negara ini," kata ketua Pusat Kawalan Satelit di Jawatankuasa Teknologi Angkasa Korea.
Selepas pengisian bahan bakar sempurna, Korea Utara perlu memasukkan bahan kimia ke dalam roket dan ini akan mencetuskan penghakisan, bermakna pelancaran mungkin akan berlaku esok.
Ramalan cuaca di semenanjung Korea turut menunjukkan pelancaran sesuai dilakukan esok atau pada Ahad ini, menurut laporan meteorologi daripada televisyen Jepun.
"Pelancaran roket berkemungkinan besar dilakukan esok," kata Francis Yoon, seorang Profesor kejuruteraan dari Universiti Yonsei di Korea Selatan yang juga pakar teknologi roket.
Pelancaran roket UNHA-3 itu yang disifatkan oleh Korea Utara hanya untuk menempatkan satelit cuaca di angkasa lepas, melanggar sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menghalang Pyongyang membangunkan peluru berpandu yang boleh membawa peledak nuklear.
Seorang bekas saintis roket dalam misi pengangkutan angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) yang kini berada di Korea Utara, James Oberg berkata, roket itu bukanlah senjata tetapi '98 daripadanya boleh dijadikan senjata'. - REUTERS
No comments:
Post a Comment