Pages

Thursday, February 2, 2012

Dibelasah rakan angkara Facebook



Pelajar yang dibelasah menunjukkan kesan calar dan bengkak di lengan selepas dipukul sekumpulan pelajar perempuan dipercayai punca salah faham di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, semalam.


KANGAR 1 Feb. - Perbalahan dalam laman sosial Facebook (FB) dipercayai menjadi punca salah faham sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah sekumpulan pelajar perempuan, termasuk rakan sekolahnya di sini semalam.

Mangsa, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini mengalami lebam dan bengkak di sebahagian tubuhnya terutama lengan, paha dan kepala berikutan kejadian itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah berseorangan selepas tamat menjalani latihan sukan di sekolah kira-kira pukul 6 petang.

Ketika melalui sebuah taman perumahan di belakang sekolah, dia ditahan oleh tiga pelajar perempuan yang masih tidak berpuas hati kerana mendakwa dia menggoda teman lelaki mereka dalam laman FB.

"Saya tidak sangka, mereka bertindak kasar apabila mula menampar, menumbuk, menendang dan menarik rambut saya. Tiba-tiba, muncul ramai pelajar perempuan yang saya tidak kenal," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.

Beliau dimasukkan ke wad HTF sejak pukul 1 pagi tadi setelah mengalami muntah-muntah.

Pelajar tersebut memberitahu, dia baharu saja belajar di sekolah itu mulai awal tahun ini setelah berpindah ke sini dari Sungai Petani untuk tinggal bersama neneknya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Che Isa mengesahkan ibu pelajar berkenaan membuat laporan polis mendakwa anaknya cedera akibat dipukul.

Katanya, kes ini hanya melibatkan empat pelajar perempuan yang melakukan perbuatan tersebut antara pukul 5 hingga 6 petang semalam.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments: