Pages

Thursday, February 2, 2012

Dua beradik lemas dalam tali air di Kelantan


02/02/2012 2:22am

PASIR PUTEH - Dua beradik ditemui mati lemas dalam sebatang tali air di Taman Kobena, Sri Aman, Pasir Puteh di sini petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, Mohd Afiq Zulfikri, 12, lemas apabila cuba menyelamatkan adiknya Mohd Amirul Zulhaikal Abdul Rahim, 7, yang tergelincir ke dalam tali air itu ketika ingin membuang air kecil.

Abang sulung mangsa, Mohd Alif Zulhakimi, 14, berkata ketika kejadian dia bersama adik serta sekumpulan rakan melalui tali air itu dan adik bongsunya, Mohd Amirul Zulhaikal ingin membuang air kecil.

"Bagaimanapun, Mohd Amirul tergelincir ke dalam tali air dan Mohd Afiq cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana tidak pandai berenang.

"Selepas melihat kedua-duanya terkapai-kapai di dalam air, saya turut terjun ke dalam tali air itu bagi menyelamatkan mereka, namun terpaksa naik ke darat kerana tidak tahu berenang,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh di sini.

Datuk kanak-kanak itu, Mohd Rahim Mat Adam, 58, yang berada kira-kira 500 meter daripada tempat kejadian menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan meminta tolong daripada Mohd Alif Zulhakimi.

"Datuk segera terjun ke dalam tali air dan menyelam bagi mencari kedua-dua adik saya yang telah lemas itu, bagaimanapun hanya menemui Mohd Afiq Zulfikri di dasar tali air,” katanya.

Mayat Mohd Amirul Zulhaikal, 7, ditemui oleh anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh pada pukul 7.19 malam.

Tali air itu terletak berhampiran taman perumahan kanak-kanak itu.

Mayat kedua beradik itu dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.

Ibu kanak-kanak itu, Normah Mohd Rahim, 35, dan bapa mangsa, Abdul Rahim Mohamad, 37, tidak dapat ditemubual kerana terlalu sedih atas kehilangan kedua-dua anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 7 petang dan tiba lima minit kemudian di tempat kejadian. - BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

No comments: