Hizbullah
Penyokong kuat Hizbullah di Lubnan menonton temu ramah Al-Mayadeen bersama Nasrallah yang disiarkan secara langsung, kelmarin.
BEIRUT - Pemimpin pergerakan Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan bahawa kumpulan itu kini sedang membina senjata kimia.
"Kami tidak memiliki senjata kimia dan tidak mampu untuk menggunakannya untuk yang berkaitan dengan syiar serta sebab kemanusiaan," kata Nasrallah dalam satu temu ramah di saluran televisyen Al-Mayadeen berpangkalan di ibu negara.
Pada penghujung Julai, majoriti pegawai Israel memberi amaran akan menyerang susulan dakwaan kerja-kerja memindahkan senjata kimia Syria ke Hizbullah.
Tentera kerajaan Syria yang berhadapan dengan pemberontakan sejak 18 bulan lalu, membuat pengakuan memiliki senjata kimia dan mengancam akan menggunakannya jika berlaku sebarang campur tangan pihak asing.
Nasrallah memberitahu, jika musuh (Israel) menentang Lubnan, Hizbullah tidak sesekali diam  sebaliknya akan mempertahankan diri dengan menyerang balas di kawasan utara Israel, Galilee.
Beliau mendakwa menerima maklumat daripada pemimpin-pemimpin Iran mengatakan Teheran akan membalas serangan dengan lebih dahsyat jika Israel menyerang kemudahan nuklear mereka.
"Iran sesekali tidak akan berdiam diri jika musuh menyerang kemudahan nuklearnya," katanya merujuk kepada tindakan Republik Islam akan menyerang balas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di timur tengah.