JAKARTA 22 Nov. - Majlis pernikahan anak kedua Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyoni, Edhie Ibas Baskoro Yudhoyono dengan Siti Rubiya Aliya Rajasa anak kepada Menteri Koordinasi Ekonomi, Hatta Rajasa tidak akan menggunakan walau sesen wang negara.
Sebaliknya, pesta pernikahan gemilang selama tiga hari antara anak dua tokoh negara itu menggunakan wang poket keluarga Susilo dan Hatta.
Menafikan pembaziran wang kerajaan dalam penganjuran majlis tersebut, Menteri Setiausaha Negara, Sudi Silalahi berkata, selain mengeluarkan belanja sendiri, Presiden Susilo juga tidak akan menerima sebarang hadiah daripada tetamu undangan.
"Tanpa mahu mengurangkan rasa hormat, Presiden dan Pak Hatta (Hatta Rajasa) selaku tuan rumah tidak akan menerima sebarang hadiah atau bingkisan daripada tetamu dalam pernikahan Ibas dan Aliya.
"Hal ini sudah ditegaskan dalam undangan perkahwinan," kata Sudi kepada wartawan di kediaman Presiden Susilo di Puri Cikeas Indah, Bogor hari ini.
Sementara itu, majlis pernikahan Ibas dan Aliya selama tiga hari bermula hari ini dengan upacara siraman pengantin mengikut tradisi Jawa dilakukan secara berasingan di kediaman pasangan pengantin itu.
Ibas menjalani upacara siraman di rumah keluarganya sementara Aliya di rumah ibu dan ayahnya di Fatmawati, Jakarta Selatan.
"Acara di Cikeas bermula jam 10 pagi sementara di rumah Aliya acara dimulakan jam 9.30 pagi," kata jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha.
Acara tradisi masyarakat Jawa yang turut diadakan ialah midodareni iaitu pertemuan antara keluarga bakal pengantin lelaki dengan keluarga pengantin perempuan.
"Rombongan keluarga Ibas akan bertemu keluarga Aliya di Fatmawati. Midodareni merupakan acara kemuncak untuk hari Selasa," jelas Julian lagi.
Majlis akad nikah pasangan ini pula bakal diadakan di Istana Cipanas pada pukul 10 pagi hari Khamis sementara majlis resepsi Ibas dan Aliya akan dilangsungkan di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) pada hari Sabtu pukul 7 malam.
Tetamu yang diundang ke acara pernikahan di Istana Cipanas terhad untuk 1,000 orang sementara untuk majlis resepsi di JCC pula akan dihadiri oleh 3,500 tetamu. - Utusan
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment