Pages

Wednesday, November 23, 2011

Penduduk dakwa banjir kilat akibat sistem perparitan tidak sempurna



Perumahan Taman Seri Mulong Kota Bharu digenangi air, semalam.


KOTA BHARU 22 Nov. - Penduduk di Taman Perumahan Sri Mulong di sini mendakwa, banjir kilat yang melanda kawasan terbabit disebabkan ketiadaan sistem perparitan sempurna sehingga menyebabkan rumah mereka dinaiki air separas lutut.

Mereka mendakwa, banjir kilat itu juga berpunca daripada projek pembangunan di Bandar Baru Tunjung yang sedang giat dijalankan, menyebabkan 113 orang penduduk daripada 20 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Mulong (1).

Seorang penduduk, Nor Azhan Mohamad, mendakwa, ketiadaan sistem perparitan dan saliran yang sempurna menyebabkan air hujan bertakung dan membanjiri rumah penduduk.

"Sebelum ini, tidak pernah berlaku banjir kilat, tetapi sejak tahun lepas masalah ini baru berlaku disebabkan ketiadaan sistem perparitan dan saliran sempurna," dakwanya ketika ditemui di pusat penempatan banjir itu hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zainal Abidin Yusoff, 30, mendakwa, dia telah menetap hampir lima tahun di kawasan perumahan itu dan ini kali kedua kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.

"Sebelum ini setiap kali hujan lebat, kawasan perumahan di sini memang dinaiki air tetapi penduduk tidak perlu berpindah kerana paras air tidak berbahaya.

"Namun segalanya berubah sejak tahun lalu, apabila penduduk terpaksa berpindah setiap kali hujan lebat gara-gara tiada sistem perparitan sempurna selain pelaksanaan projek pembinaan berdekatan yang menyekat aliran air," dakwanya.

Sementara itu, Fatihah Ismail, 25, pula memberitahu, ini pengalaman pertamanya berdepan situasi tersebut dan berasa terkilan apabila semua barangan elektrik serta perabot rosak tanpa dapat diselamatkan.

"Masa saya keluar ke tempat kerja paras air berada di paras rendah. Saya jangkakan paras air tidak akan meningkat, tiba-tiba pukul 10 pagi saya menerima panggilan telefon daripada suami memberitahu rumah kami dinaiki air.

"Air naik terlalu cepat dia tak sempat menyelamatkan barangan. Sebelum ini saya tidak pernah terlibat dengan banjir dan inilah pengalaman pertama," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments: