Pages

Wednesday, November 23, 2011

Menangis teresak-esak di sisi mayat isteri

IPOH: Seorang suami tergamam sejurus melihat isterinya maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis dan diseret sebuah treler berhampiran persimpangan Jalan Raja Musa Aziz, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi, mangsa yang juga jururawat, Liew Suet Foong, 50, membonceng motosikal bersama suaminya ke tempat kerja.


Kejadian ngeri itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian, manakala suaminya, Cheow Seng Yee, 62, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata kemalangan berlaku apabila pemandu treler terbabit tidak menyedari kehadiran motosikal pasangan itu sebaik membelok masuk di tempat kejadian.


“Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Silibin ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram bergesel dengan tayar lori treler terbabit.


“Akibatnya kedua-dua mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh. Ketika itu mangsa yang tidak sempat bangun dirempuh bahagian belakang treler itu menyebabkan dia diseret,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang parah di beberapa bahagian anggota tubuh termasuk kepala maut di tempat kejadian.


“Suami mangsa bagaimanapun terselamat dan hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu treler berusia 46 tahun ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Polis meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan,” katanya.

myMetro | Menangis teresak-esak di sisi mayat isteri:

'via Blog this'

No comments: