Pages

Wednesday, November 23, 2011

Tiga parti umum tubuh kerajaan baru Tunisia


TUNIS 22 Nov. - Tiga parti utama Tunisia secara rasmi mengumumkan perjanjian perkongsian kuasa semalam, 10 bulan selepas bekas Presiden Zine el Abidine Ben Ali digulingkan.

Hamadi Jebali yang merupakan Setiausaha Agung Parti Ennahda, parti yang memperolehi undi majoriti dalam pilihan raya bulan lalu, dilantik menjadi Perdana Menteri manakala jawatan utama lain seperti Presiden dan Pengerusi Dewan Perhimpunan akan dibahagikan antara dua parti sayap kiri.

Moncef Marzouki dari Kongres bagi Parti Republik (CPR) akan menjadi Presiden dan dan Mustapha Ben Jaafar dari Parti Ettakatol akan mempengerusikan Dewan Perhimpunan untuk mendraf Perlembagaan baru.

Seramai 217 anggota dewan baru akan berhimpun buat pertama kalinya hari ini bagi mengesahkan tiga jawatan itu.

"Ini adalah saat bersejarah kepada kebebasan Tunisia," kata jurucakap Ennahda, Nurredine Bhiri selepas ketiga-tiga parti itu menandatangani perjanjian tersebut di depan media di sebuah hotel di Tunis.

Jebali, 63, yang berpegang kepada fahaman Islam sederhana adalah timbalan kepada pemimpin Parti Ennahda, Rached Ghannouchi dan pernah dipenjara selama 15 tahun ketika pemerintahan Ben Ali.

Marzouki, 66, merupakan seorang doktor dan bekas Presiden Liga Hak Asasi Manusia Tunisia dan turut mempunyai rekod menentang Ben Ali.

Ben Jaafar, 71, pula digambarkan oleh rakan sekerja sebagai tangan besi di dalam sarung tangan baldu.

Dewan Perhimpunan didominasi oleh Parti Ennahda, parti yang diilhamkan oleh Ikhwan Muslimin dengan memiliki 89 kerusi, sementara Parti CPR dan Ettakatol masing-masing mempunyai 29 dan 22 kerusi perwakilan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: