Pages

Wednesday, November 23, 2011

Sarawak perlu semak undang-undang negeri

Langkah sekat umat Islam sertai pertandingan ratu cantik

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu menyemak semula Undang-Undang Syariah Negeri sebelum sebarang langkah mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai larangan penyertaan umat Islam dalam pertandingan ratu cantik dibuat.
Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 menetapkan adalah berdosa dan haram bagi umat Islam menyertai pertandingan ratu cantik selain mengarahkan Majlis Islam Negeri semua negeri mewartakannya.
Undang undang berkaitan syariah di bawah kerajaan negeri dan keputusan Majlis Islam Sarawak tidak mengikut fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah berdasarkan suasana negeri. - Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak
Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Daud Abdul Rahman, berkata undang-undang berkaitan syariah di bawah kerajaan negeri dan keputusan Majlis Islam Sarawak (MIS) tidak mengikut fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah berdasarkan suasana negeri.

Bagaimanapun katanya, MIS akan segera berbincang dengan Pejabat Mufti Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bagi melihat kembali keputusan majlis fatwa itu sama ada dapat dilaksanakan.

“Terdapat dua isu di sini iaitu Majlis Fatwa Negeri mengeluarkan hukum haram ke atas umat Islam menyertai pertandingan ratu cantik, yang sebenarnya jelas bahawa hukumnya adalah haram.

“Dan kedua bagaimana penguatkuasaan dapat dilaksanakan oleh JAIS, sedangkan kita tidak mempunyai sebarang undang-undang untuk berbuat demikian selama ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Isu berkenaan timbul selepas lima gadis Islam di negeri ini menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo 2011 walaupun selepas JAIS memberikan kaunseling untuk mereka, Jumaat lalu.

Agensi penguatkuasaan agama itu bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada undang undang melarang umat Islam di Sarawak menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik.

Daud berkata, pihaknya akan merujuk undang-undang syariah di negeri yang mewartakan larangan berkenaan bagi melihat sama ada ia sesuai dilaksanakan di Sarawak.

“Saya akan meminta contoh undang-undang digunakan Majlis Islam Negeri lain yang lama mempraktikannya bagi memastikannya benar-benar dapat menghalang umat Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

“Kita juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negeri bagi membolehkan tambahan peruntukkan dibuat kepada Undang Undang Syariah Negeri dalam isu ini dan hukuman ke atas umat Islam yang melanggarnya,” katanya.
Berita Harian Online | Sarawak perlu semak undang-undang negeri:

'via Blog this'

No comments: