KUALA LUMPUR 22 Nov. - Seorang anggota sukarelawan polis mualaf sempat mengajar seorang anggota polis berpangkat sarjan mengucap dua kalimah syahadah sebelum lelaki itu menghembuskan nafas terakhir dalam kemalangan di Jalan Syed Putra menghala ke Petaling Jaya, di sini pagi ini.
Muhamad Khidir Tiew Abdullah, 21, yang bertugas di Balai Polis Subang Jaya dekat sini, terserempak dengan mangsa, Md. Nor Shukor, 57, terbaring berlumuran darah di atas jalan raya pada pukul 6.50 pagi.
Dia kemudian segera memberhentikan kenderaan untuk menghulurkan bantuan kepada Md. Nor dengan menghubungi talian kecemasan dan menemani mangsa sehingga ambulans tiba di tempat kejadian.
Menurut Muhamad Khidir, semasa tiba di tempat kemalangan, dia melihat ada beberapa pengguna jalan raya lain berhenti untuk melihat mangsa, tetapi mereka tidak melakukan apa-apa termasuk menghubungi ambulans.
"Apabila saya menghampiri mangsa, beberapa orang di situ bertindak memarahi dan bertanya siapa saya seolah-olah tidak suka saya menyibuk untuk melihat apa berlaku.
"Sebaik sahaja memaklumkan saya adalah anggota polis dan menunjukkan kad kuasa, mereka semua beredar meninggalkan saya sendirian bersama mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kemalangan di sini, hari ini.
Muhamad Khidir berkata, dalam tempoh menanti bantuan sampai, dia melihat mata mangsa memandang tepat ke arah matanya sambil mulut bergerak seolah-olah mahu mengatakan sesuatu, tetapi suaranya tidak terkeluar.
Katanya, melihat keadaan mangsa yang semakin nazak, dia mengajar lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan mangsa disahkan meninggal dunia semasa ambulans tiba.
Menurutnya, sebaik sahaja mengetahui mangsa ialah anggota polis dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, dia segera menghubungi IPD berkenaan untuk memaklumkan kemalangan tersebut dan beberapa rakan setugas mangsa bergegas pergi ke tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, Md. Shukor yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai mangsa langgar lari oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.
"Kita menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fuzie Samat di talian 03-20719999 untuk membantu siasatan," katanya.
Md. Nor meninggalkan isteri, Noriyati Yaakob yang bekerja di Pusat Pakar Tawakal dan tiga anak. Sebelum ditukarkan di IPD Brickfields, beliau pernah bertugas di IPD Sentul dan Dang Wangi di sini.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment