BERI KETERANGAN... Grant tiba untuk memberi kenyataan dalam perbicaraan akhbar tabloid di London, semalam.
LONDON: Aktor Hugh Grant mendakwa akhbar tabloid Britain menggodam talian telefonnya dan menjadikan kecurian di rumahnya sebagai bahan berita.
Grant - diingati kerana peranannya dalam filem Notting Hill - menuduh akhbar Mail on Sunday menyiarkan berita palsu mengenai hubungannya dengan Jemima Khan pada 2007 hasil pengintipan talian telefon.
Disaksikan jutaan orang yang mengikuti perbicaraan itu secara langsung, Grant menggesa warga Britain bangkit membantah “industri pencerobohan privasi” di negara itu yang dianggapnya pengecut.
“Apa yang paling mengejutkan, perlakuan ini dibenarkan berlangsung begitu lama dengan tiada sesiapa bersuara untuk menamatkannya,” katanya.
Grant, 51, juga mendakwa pemilik akhbar berkenaan menakut-nakutkan polis, ahli politik dan kerajaan.
Dakwaan Grant ke atas akhbar tabloid dimiliki Kumpulan Associated Newspapers itu adalah yang kedua dibuat dalam perbicaraan kes salah laku News of the World.
Keterangan Grant itu menunjukkan News of the World milik Rupert Murdoch bukan satu-satunya akhbar yang melakukan pencerobohan talian telefon peribadi tokoh terkemuka dunia.
Kata Grant, berita hubungannya dengan Jemima didakwa Mail on Sunday bermasalah dan kononnya dia berbual dengan seorang eksekutif studio pada lewat malam terbukti palsu.
“Saya teringin tahu siapa sumber akhbar itu jika mereka tidak menceroboh talian telefon saya,” katanya.
Turut menjadi kecaman Grant, akhbar Daily Mirror milik Trinity Mirror yang memperoleh rekod perubatan secara haram.
Seorang peguam minggu lalu berkata, Daily Mirror disenaraikan dalam komputer riba dirampas polis daripada seorang penyiasat persendirian yang dipenjara pada 2007 kerana menceroboh talian telefon untuk News of the World.
Grant berkata, dia mula curiga selepas kediamannya di London dipecah masuk sejurus selepas ditahan bersama pelacur di Los Angeles pada 1995.
Tiada barang hilang dalam kejadian itu, tetapi gambaran penuh mengenai kediamannya dipaparkan dalam akhbar berkenaan tidak lama kemudian.
“Butiran itu mungkin datang daripada pencuri, polis atau kedua-duanya,” katanya. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment