Pages

Tuesday, November 22, 2011

Sepanyol bertukar kerajaan



MARIANO RAJOY bersama isterinya, Elvira Fernandez melambai ke arah para penyokong dari balkoni ibu pejabat PP di Madrid selepas memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum semalam. - AFP


MADRID - Parti Popular (PP) pimpinan Mariano Rajoy menang besar dalam pilihan raya umum di Sepanyol semalam selepas para pengundi menghukum kerajaan diterajui Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) ekoran krisis ekonomi terburuk yang melanda negara berkenaan.

Rajoy yang memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya kelmarin dijangka melakukan langkah drastik bagi menghalang Sepanyol terjerumus lebih jauh ke dalam krisis hutang yang kini mengancam keseluruhan negara Kesatuan Eropah (EU).

"Masa sukar akan tiba," kata Rajoy ketika berucap kepada para penyokongnya selepas memenangi pilihan raya tersebut.

Setakat ini, para pelabur masih menantikan usaha dan langkah terperinci yang akan dilaksanakan oleh pemimpin berusia 56 tahun itu dalam menangani beban hutang negara yang besar, sekali gus memaksa Sepanyol ke arah pelan penyelamatan ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Suara Sepanyol akan kembali dihormati di Brussels dan Frankfurt (dua ibu pejabat EU). Kita akan berhenti daripada menjadi beban dan akan menyumbang kepada penyelesaian krisis hutang," ujar Rajoy.

Beliau dijadual dilantik sebagai Perdana Menteri Sepanyol yang baharu dalam tempoh sebulan.

Dalam pada itu, rakyat Sepanyol meluahkan kemarahan mereka terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri José Luis Rodríguez Zapatero yang berjaya membawa Sepanyol ke arah kemakmuran ekonomi sewaktu pemerintahan beliau selama tujuh tahun sebelum krisis hutang zon euro melanda.

Dengan anggaran lima juta rakyatnya kini menganggur, Sepanyol yang memiliki kadar pengangguran tertinggi di Eropah kini berada di ambang kemelesetan ekonomi kedua dalam tempoh empat tahun.

PP ditubuhkan daripada gabungan beberapa parti berhaluan kanan sekitar tahun 1980-an, selepas Sepanyol kembali kepada amalan demokrasi ekoran kejatuhan pemerintahan diktator Francisco Franco.

Ini merupakan kemenangan terbesar PP dalam pilihan raya umum Sepanyol sejak tiga dekad lalu.

PP menguasai 186 kerusi daripada keseluruhan 350 kerusi Dewan Rendah Sepanyol selepas 99.95 peratus kertas undi dikira.

PP memperoleh 10.8 juta undi dalam pilihan raya berkenaan, manakala 6.9 juta rakyat Sepanyol memilih PSOE. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: