Pages

Tuesday, November 22, 2011

AC Mizal, Shafnie dinasihat selesai kes luar mahkamah



AC Mizal


KUALA LUMPUR 21 Nov. - Hakim Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang dekat sini hari ini menasihatkan pengacara dan pelakon AC Mizal serta bekas isterinya, Shafnie Zainuddin menyelesaikan tuntutan pengubahan nafkah dua anak lelaki mereka di luar mahkamah.

Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah, menjelaskan kes itu yang kini berlanjutan sejak tahun 2008, seharusnya diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak bersikap terbuka.

Selain itu, menurut Abdul Halim, semangat roh Islam perlu diterapkan oleh AC Mizal dan Shafnie dalam bekerjasama bagi membesarkan dua anak mereka yang kini meniti usia remaja.

“Hasrat saya adalah agar anak-anak kamu boleh menikmati nafkah tersebut secepat yang mungkin,” tegas hakim syarie tersebut.

Abdul Halim sempat bertanyakan kepada AC Mizal sama ada pengacara rancangan realiti Maharaja Lawak Mega itu berhasrat untuk menyelesaikan tuntutan terbabit di luar mahkamah.

Artis lelaki tersebut selaku defendan kemudian menjelaskan bahawa pihaknya bersetuju untuk menaikkan nafkah bulanan dua anaknya daripada jumlah asal yang bernilai RM500 kepada RM1,000.

AC Mizal memberitahu, jumlah RM1,000 adalah nilai yang minimum memandangkan pendapatan yang tidak menentu kerana beliau bekerja mengikut kontrak yang ditetapkan, selain mendakwa pernah tidak mendapat apa-apa tawaran pekerjaan pada tahun lalu.

Peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Shafnie selaku plaintif, selepas itu menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah berhubung tawaran demikian, tetapi defendan hendaklah mendrafkan terlebih dahulu segala butiran penyelesaian.

Terdahulu ketika sesi pemeriksaan semula, bekas mertua AC Mizal, Rafiah Ab. Talib, 62, mendakwa cucunya, Muhammad Shafiq Iman, 15, mengalami gangguan emosi selepas menantunya bercerai dengan Shafnie pada 17 Oktober 2001.

Pesara kerajaan terbabit menyifatkan emosi anak sulung AC Mizal itu seperti `bom jangka’ sehinggakan badan cucu lelakinya kurus kerana tidak mahu makan.

Menurut saksi kedua itu, seorang doktor telah menasihatkan anaknya, Shafnie untuk membawa dua cucunya pergi melancong bagi meredakan tekanan emosi dan mencari ketenangan.

Rafiah berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan nafkah hiburan dan percutian yang berjumlah RM3,000 yang terlalu tinggi seperti yang ditimbulkan oleh peguam syarie mewakili AC Mizal, Siti Aishah Din pada prosiding lalu.

Wanita tersebut dilihat beberapa kali menitiskan air mata sewaktu ditanya Zulkifli berhubung soalan yang menyentuh perbelanjaan makan dan minum dua cucunya.

Perbicaraan pada hari ini untuk mendengar permohonan pengubahan nafkah anak yang dikemukakan oleh Shafnie, 35, terhadap AC Mizal atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, 39.

Ia merangkumi makan minum bulanan RM400, pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa atau ansuran rumah (RM650).

Selain itu, dia meminta perbelanjaan tahunan berjumlah RM9,000 yang merangkumi pakaian (RM3,000), perubatan (RM1,500), yuran sekolah atau tuisyen (RM500), aktiviti kokurikulum (RM1,000) dan hiburan serta percutian (RM3,000).

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 24 Jun 1995, turut dikurniakan seorang lagi cahaya mata yang bernama Muhammad Shabil Iman, 11.

Perbicaraan bersambung pada 13 Februari tahun depan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments: