Pages

Tuesday, November 22, 2011

47 penduduk tiga daerah dipindah



SEORANG wanita mengawasi kanak-kanak bermain perahu di hadapan rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Merbau Menyusut, Setiu semalam.


KUALA TERENGGANU - Hujan lebat sejak dua hari lalu memaksa 47 penduduk dari tiga daerah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu berkata, sehingga pukul 2 petang semalam, daerah Setiu paling terjejas apabila 30 penduduk dari lapan buah keluarga di Kampung Merbau Menyusut terpaksa dipindahkan ke Masjid Kampung Merbau Menyusut.

Turut dipindahkan adalah 13 penduduk dari dua keluarga di Kampung Kolam, Hulu Terengganu yang kini ditempatkan di balai raya Kampung Kolam sementara empat penduduk lain ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Berangan, Marang.

Kesemua 47 penduduk itu merupakan kumpulan pertama mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

"Setakat pukul 5 petang ini, tiga pusat pemindahan dibuka iaitu di Masjid Kampung Merbau Menyusut, balai raya Kampung Kolam dan SK Pengkalan Berangan sementara laluan jalan raya belum ada yang ditutup," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula berkata, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap kini melebihi paras bahaya iaitu 22.14 meter (m).

Dua lagi sungai iaitu Sungai Telemong di Kampung Paya Rapat dan Sungai Setiu meningkat kepada paras amaran iaitu 21.2m dan 7.80m.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar memberitahu, bantuan tambahan banjir kini berada di setor simpanan banjir JKM di Pulau Kerengga dekat sini.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: