KAHERAH 21 Nov. - Pertempuran antara penunjuk perasaan dengan anggota pasukan keselamatan di Dataran Tahrir yang masuk hari ketiga semakin memburuk hari ini, dengan angka korban meningkat kepada 22 orang.
Kejadian itu berlaku apabila polis dan anggota tentera menggunakan belantan, gas pemedih mata dan tembakan peluru burung bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang menuntut peralihan kuasa pihak tentera kepada kuasa rakyat.
Tentera Mesir dilapor turut membakar khemah penunjuk perasaan di dataran tersebut.
Ia merupakan hari kedua keganasan berlaku di ibu negara ini, selepas satu perarakan anti tentera secara aman yang dilakukan Jumaat lalu.
Pegawai di rumah mayat berkata, lebih 20 maut semalam dan dua lagi kelmarin menjelang pilihan raya pertama negara ini, dalam keganasan terburuk sejak kejatuhan rejim Hosni Mubarak.
Pilihan raya perundangan akan diadakan pada 28 November ini.
Pegawai berkata, sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan ditembak mati semalam.
Menurut kenyataan agensi berita MENA, Kementerian Kesihatan melaporkan seramai 10 terbunuh semalam, sementara 1,700 yang lain cedera sepanjang hujung minggu lalu dalam pertempuran.
Terdahulu, Dr. Mohammed Fatuh yang bertugas di Dataran Tahrir berkata, tiga mayat dengan kesan tembakan dibawa ke hospital sementara di dataran tersebut.
Pasukan perubatan sebelum itu melaporkan empat kematian, satu akibat terkena tembakan peluru hidup serta tiga kerana sesak nafas terhidu gas pemedih mata.
Wartawan AFP malam tadi berkata, penunjuk perasaan di sebatang jalan dilihat melempar batu dan bom petrol ke arah kereta perisai tentera serta polis rusuhan sebelum polis tentera membalas dengan melepaskan tembakan. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment