TRIPOLI - Anak lelaki kesayangan Muammar Gaddafi, Seif Al-Islam, 39, akan dibicarakan di Libya, walaupun dia dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), tegas Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) kelmarin.
"Keputusan muktamad adalah dia (Seif) akan dibicara di mahkamah Libya. Ini soal maruah negara," kata Naib Pengerusi NTC, Abdel Hafiz Ghoga dalam satu sidang media.
Pada sidang media yang sama, Abdel Hafiz mengesahkan kenyataan Menteri Keadilan sementara Libya bahawa Seif yang ditangkap pada Sabtu lepas di selatan Libya kini menerima kawalan keselamatan yang mencukupi.
ICC sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Gaddafi, Seif dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah Al-Senussi kerana jenayah kemanusiaan yang dilakukan semasa mematahkan kebangkitan rakyat Libya awal tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, pejuang-pejuang Libya yang menahan Seif telah menyebarkan rakaman video penangkapannya ke Internet. Klip video berkenaan menunjukkan tiga jarinya berbalut kerana cedera.
Menurut beberapa pejuang berkenaan, tangan Seif cedera dalam serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tiga bulan lalu.
Dalam klip video yang disiarkan di laman web YouTube kelmarin, Seif menyatakan serangan udara tersebut mengenai konvoinya di Wadi Zamzam, sekitar 140 kilometer ke tenggara bandar raya ini.
Sementara itu, Abdullah Al-Senussi ditangkap kelmarin ketika sedang bersembunyi di rumah saudara perempuannya di kawasan Al-Guira, selatan Libya. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment