Pages

Friday, September 2, 2011

Gadis diperdaya beli iPad palsu


BENTUK iPad kayu palsu yang dijual pada harga cuma RM538.29.

SPARTANBURG, Amerika Syarikat (AS) – Seorang gadis, Ashley McDowell menyangka telah membuat pembelian paling bersejarah di dunia apabila dia berjaya membeli sebuah komputer tablet iPad2 pada harga AS$180 (RM538.29), lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang berusia 22 tahun membeli komputer tersebut daripada dua orang lelaki di tempat meletak kereta restoran makanan segera McDonald’s di sini.
Gadis itu diyakinkan oleh kedua-dua lelaki tersebut bahawa mereka membeli komputer berkenaan dalam jumlah yang banyak pada harga yang amat rendah.
Kedua-dua lelaki itu menunjukkan iPad yang baharu bagi meyakinkan Ashley.
Pada mulanya, kedua-dua lelaki itu menawarkan harga AS$300 (RM897) tetapi gadis tersebut menyatakan dia hanya mempunyai wang sebanyak AS$180.
Kedua-dua lelaki tersebut kemudian bersetuju menjual iPad pada harga itu.
Mereka kemudian membawa kotak penghantar surat Fed-Ex ke kereta Ashley.
Gadis itu kemudian membayar wang tersebut tanpa memeriksa kandungan kotak berkenaan.
Setiba di rumah, Ashley membuka kotak tersebut dan mendapati dia sebenarnya membeli sekeping kayu yang mengandungi logo Apple di bahagian belakang.
Bahagian depan kayu itu diukir supaya ia kelihatan seperti iPad.
Syerif Spartanburg, Leftenan Tony Ivey berkata, kejadian itu berlaku pada malam Isnin lalu. – Agensi, kosmo

No comments: