Pages

Friday, September 2, 2011

Nasib mangsa kebuluran masih kabur

MALEKHA Mahdi bersama anaknya kini tinggal di kem
perlindungan sementara Darul Shifa, Mogadishu.
MOGADISHU 1 Sept. – ‘‘Kami terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer dari kampung halaman ke Mogadishu untuk hidup. Ada yang meninggal dunia di pertengahan jalan. Namun nasib kami masih kabur.”
Demikian keluhan Malekha Mahdi, 51, yang kini berada di kem perlindungan sementara Darul Shifa di Mogadishu sejak dua bulan lalu selepas meninggalkan rumahnya di Bulaabdala yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini.
Menempuh segala cabaran sepanjang berjalan kaki bersama enam anak, baginya, ia dilakukan demi kelangsungan hidup bersama anak- -anak selepas kampung halamannya ‘kering’ lantaran kemarau panjang.
‘‘Di tempat tinggal saya, bagaikan tiada kehidupan. Kering kontang. Tidak ada air dan makanan. Kehidupan kami anak-beranak amat susah. Suami saya juga berada di kem perlindungan di tempat lain.
‘‘Kami terpaksa berjalan kaki untuk terus hidup dengan mengharapkan bantuan sesiapa sahaja di Mogadishu,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan berupa wang, tudung, kain sarung, biskut dan kurma daripada Kelab Putera 1Malaysia di sini hari ini.
Ujar Malekha, selepas ancaman kumpulan bersenjata Al-Shabab, kebuluran kini menjadi ancaman utama di Somalia ekoran kemarau berpanjangan.
Sementara itu, bagi seorang kanak-kanak, Fatma Maday, 4, dia dan adiknya, Ishia Maday, 3, turut menempuh saat getir sepanjang berjalan kaki bersama ibu dari Marka, selatan Somalia.
Ayah serta adik lelakinya, Salad Maday yang baru berusia 10 bulan sudah meninggal dunia dalam satu serangan sementara ibunya pula berada di kem lain.
Sementara itu, Ibrahim Maadey Ahmad, 52, yang datang dari Marka berkata, beliau terpaksa merantau sejauh 90 kilometer ke Mogadishu kerana dua batang sungai di kampung halamannya kering kontang.
‘‘Sangat susah. Sungai Jubba dan Sungai Shabella kering. Ramai yang sakit dan kurang zat makanan. Sebab itu saya dan beberapa lagi datang ke sini (Mogadishu). Kami berjalan kaki. Ramai juga yang meninggal ketika berjalan ke sini.
‘‘Saya tak ambil kisah hal politik meskipun kawasan saya dikuasai Al-Shabab. Apa yang kami mahukan adalah makanan, air dan ubat. Kami sedang berperang dengan kebuluran,” katanya.
Beliau meminta Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan di Somalia.-utusan

No comments: