Pages

Friday, September 2, 2011

Seif al-Islam ikrar terus melawan pemberontak di Libya

TRIPOLI 1 Sept. - Anak lelaki Muammar Gaddafi, Seif al-Islam berikrar penyokong setia bapanya akan memerangi pemberontak sehingga ke titisan darah terakhir.
Seif menyampaikan mesej enggan mengalah itu ketika abangnya, Saadi melahirkan kesediaan untuk menyerah diri manakala pemberontak mengumumkan penangkapan bekas Menteri Luar, Abdelati al-Obeidi.
"Kami semua termasuk pucuk pimpinan dan pemimpin kami dalam keadaan baik.
"Saya bercakap dari pinggir Tripoli dan kami ingin memberi jaminan kepada rakyat Libya bahawa kami masih bertahan dan terus memberi tentangan, malah kemenangan makin hampir," kata Seif kepada televisyen Arrai Oruba di Syria, dalam mesej audio yang disiarkan malam tadi.
Beliau memberi amaran kepada pemberontak supaya jangan berani melancarkan serangan ke atas bandar kelahiran bapanya, Sirte iaitu bandar utama yang masih dikuasai oleh penyokong setia Gaddafi.
Naib Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Hafez Ghogha berkata, Seif kini mengalami sindrom penafian.
"Seif al-Islam hidup dalam mimpi dengan mendakwa kemenangan makin hampir, sedangkan yang makin hampir ialah kemenangan pemberontak," kata Ghogha, di kubu pemberontak di Benghazi.
Sementara itu, Saadi Gaddafi menyuarakan kesediaan untuk menyerah diri.
"Saya bersedia untuk menyerah diri malam ini jika tindakan ini akan menghentikan pertumpahan darah," katanya kepada stesen televisyen Al-Arabiya malam tadi.
Naib Pengerusi majlis tentera pemberontak, Mahdi al-Harati memberitahu wartawan di Tripoli, rundingan sudah bermula mengenai penyerahan diri Saadi.
Sementara itu, para pemimpin dunia berhimpun di Paris hari ini untuk membincangkan masa depan Libya selepas kejatuhan rejim Gaddafi.
Menjelang persidangan di Paris itu, Perancis mengumumkan akan menarik balik pembekuan aset Libya bernilai 1.5 bilion euro (RM6.4 bilion) manakala Rusia menyertai banyak negara lain untuk mengiktiraf NTC sebagai kerajaan Libya yang sah. - AFP, utusan

No comments: