Pages

Friday, September 2, 2011

Sungai melimpah dek 'Irene' di AS mulai surut


RUMAH HANYUT: Sebuah rumah yang musnah akibat ribut Irene hanyut di sebatang sungai di Rochester, Vermont, semalam sedang pemiliknya, Encik Jon Graham (kanan), dan rakan-rakannya mengeluarkan barang-barang dari rumah itu. -- Foto AP

KILLINGTON (Vermont): Sungai-sungai yang airnya melimpah di kebanyakan kawasan di timur laut Amerika Syarikat mulai surut semalam.
Ini membolehkan bantuan disalurkan kepada penduduk beberapa bandar kecil di Vermont, yang terputus hubungan dengan saluran bantuan akibat air bah deras yang dibawa taufan Irene.


Keadaan itu meredakan sedikit kesan banjir kelmarin, yang melumpuhkan wilayah tersebut, dan menampakkan kerosakan yang dialami kawasan kediaman, ladang dan perniagaan di seluruh kawasan terjejas.Anggaran kerja pembaikan menunjukkan kejadian itu mungkin antara bencana alam paling merugikan bagi Amerika, walaupun kosnya tidak setinggi yang dikhuatiri sebelumnya.


Daripada 11 kawasan kediaman yang terputus hubungan dengan dunia luar, Wardsboro, sebuah kampung 850 penduduk di Green Mountains, paling akhir dapat diberi bantuan.Pasukan Pengawal Negara Amerika terus menyediakan beberapa bekalan keperluan kepada bandar-bandar di kawasan pergunungan yang terputus bekalan kuasa elektrik, khidmat telefon dan pengangkutannya.


Helikopter-helikopter tiba dengan bekalan keperluan seperti makanan, selimut dan air minum.Air bah turut memusnahkan beberapa bahagian di wilayah New Jersey dan Connecticut.Dua daripada tiga reaktor nuklear di selatan New Jersey telah mengurangkan penjanaan kuasanya kerana serpihan-serpihan akibat taufan itu menghalang kemasukan air pendingin.


Sementara itu, korban akibat taufan Irene mencecah 53 jiwa, termasuk 46 orang yang maut dalam 13 wilayah Amerika dan Puerto Rico.Satu anggaran oleh firma perunding cara Kinetic Analysis Corp menggunakan model komputer sejurus selepas taufan itu melanda Amerika mengunjurkan kerugian akibat bencana tersebut sekitar AS$7.2 bilion ($8.7 bilion) dalam lapan wilayahnya dan di kawasan Washington D.C. -- AP.CYBERITA

No comments: