Pages

Friday, September 2, 2011

'Beri kami air, makanan'

KANAK-KANAK yang kehausan minum air dari paip di kem perlindungan
sementara mangsa kebuluran di Bad-Badoo, Mogadishu, Somalia, semalam.

MOGADISHU 1 Sept. - ''Beri kami air, beri kami air. Ada makanan untuk kami?''
Itu jeritan sekumpulan wanita tatkala pasukan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) memasuki kem perlindungan sementara mangsa kebuluran di Kem Bad-Badoo, dekat sini.
Kem perlindungan tersebut yang diwujudkan sejak tiba bulan lalu itu kini menempatkan seramai 12,000 keluarga yang datang dari pelbagai kawasan di seluruh Somalia ekoran kebuluran.
Seorang mangsa, Mariam Ali Mohamed, 40, berkata, dia dan ramai lagi 'penghuni' kem sementara itu amat memerlukan bekalan air bersih.
''Saya sampai di sini sejak dua bulan lalu. Tempat tinggal saya di Shabeellah tidak ada air. Saya sangat perlukan air bersih. Anak saya di sini ada lima orang. Tolong beritahu semua termasuk kerajaan, bawalah bekalan air," rayunya sambil menitiskan air mata.
Kata Mariam, sejak berada di kem itu, dia dan anak-anaknya sering kali bergerak ke sana-sini meraih simpati sesiapa sahaja yang sudi menghulurkan bantuan termasuk makanan.
Nasib sama turut menimpa Aminah Osman, 29, yang berasal dari Baydhabo.
Baginya, air paip yang tidak diketahui tahap kebersihannya terpaksa digunakan untuk meneruskan hidup.
''Hendak dapat air mana lagi kalau bukan air paip yang dikongsi ramai orang dalam kem ini. Memanglah tak bersih, itu sahaja pilihan yang ada," jelasnya.
Sementara itu, lain pula dengan nasib beberapa anggota tentera Somalia yang cedera parah ekoran serangan pengganas Al-Shabab dan kini mendapat rawatan di Hospital Martini.
Menurut seorang tentera, Dahir Mohamad Mahmud, 43, kaki kirinya mungkin terpaksa dipotong selepas ditembak dengan mesingan dalam satu serangan Al-Shabab di Hoosh, dekat sini tahun lalu.
Katanya, dalam serangan pada waktu malam itu, peluru mesingan terkena kaki kirinya.
Nasib sama turut menimpa Yusuf Ahmad, 51, yang diserang pengganas Al-Shabab di Hotel Jubba sembilan bulan lalu.
''Kaki kiri saya terpaksa dipotong. Saya ada lima anak. Dengan keadaan begini, saya pun tidak tahu bagaimana hendak menyara keluarga. Saya amat memerlukan bantuan kaki palsu untuk bergerak," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Perubatan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Dr. Alwi Rahman berkata, pasukan perubatannya sudah menilai keperluan bekalan perubatan di hospital berkenaan.
''Kebanyakan mereka mengalami kesan luka dan kecederaan disebabkan konflik bersenjata. Mereka memerlukan ubat dan vaksin tertentu termasuk rawatan susulan," katanya.-utusan

No comments: