Pages

Friday, September 2, 2011

2 loji rawatan air milik Johor


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian  antara Tan dan Obet pada majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB   di Loji Air Gunung Pulai di Johor Bahru,  semalam. Turut sama (dari kiri) Menteri Kanan Negeri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Grace Fu; Abdul Ghani, Vivian dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kanan).
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Tan dan Obet pada majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB di Loji Air Gunung Pulai di Johor Bahru, semalam. Turut sama (dari kiri) Menteri Kanan Negeri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Grace Fu; Abdul Ghani, Vivian dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kanan).


Kontrak 50 tahun Singapura tamat

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyaksikan majlis penyerahan kemudahan loji rawatan air dan rumah pam secara rasmi oleh Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) kepada kerajaan Johor kelmarin.

Majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB, Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil, di Loji Air Gunung Pulai di sini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Selain Loji Air Gunung Pulai, PUB menyerahkan Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan kontrak bekalan air selama 50 tahun tamat antara PUB dan kerajaan negeri di bawah Perjanjian Air 1961 kelmarin.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri akan terus meneroka sumber bekalan air baru sebagai persediaan jangka panjang bagi memenuhi keperluan penduduk dan industri, termasuk industri petroleum yang dibangunkan di Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

Katanya, langkah terbaru penerokaan sumber air dari Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi.

“Ini adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan negeri menyediakan bekalan air melangkaui jangka masa panjang untuk keperluan penduduk dan industri di negeri ini,” katanya pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Sungai Mati, semalam.
Abdul Ghani berkata, sebuah syarikat jururunding sudah dilantik untuk menjalankan kajian terhadap kemungkinan membina sebuah loji rawatan air di Sungai Sedili Besar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Teo Yen Hua, berkata kerajaan negeri sedang menggubal enakmen baru, Enakmen Sumber Air Negeri bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di kawasan empangan, sekali gus mutu air di semua empangan negeri sentiasa berada pada tahap terbaik dan terkawal.

Katanya, akta berkenaan akan membolehkan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) melakukan penguatkuasaan sendiri di semua kawasan empangan di negeri ini yang berisiko.

“Enakmen baru ini apabila siap digubal akan memastikan empangan serta kawasan sumber air negeri sentiasa terjamin, termasuk daripada pencerobohan haram terutama membabitkan perladangan mahupun dijadikan tempat buangan sisa toksik berbahaya,” katanya. bharian

No comments: