Pages

Saturday, August 6, 2011

Lebam disyaki didera ibu



MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Bukit Rambai, dekat sini, dipercayai menjadi mangsa didera ibu kandungnya sendiri hingga lebam pada anggota badan termasuk tangan.
Difahamkan kejadian berkenaan hanya disedari guru tadika selepas seminggu mangsa mengalami penderaan menyebabkannya membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga.

Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya sudah melawat mangsa di rumahnya bulan lalu sebelum membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Katanya, doktor yang merawat mangsa mengesahkan dia dipercayai didera berdasarkan kesan kecederaan dialaminya.

“Kejadian difahamkan berlaku pada 21 Julai lalu yang mana mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik dikatakan didera ibunya.

“Siasatan pegawai JKM juga mengetahui bahawa keluarga mangsa dikategorikan bermasalah kerana ibunya terbabit dalam penyalahgunaan dadah.



“Selain itu, ibu mangsa juga dikatakan bernikah melalui sindiket dan perkahwinannya tidak didaftarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Daud Arbah mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan pihaknya sudah mengambil tindakan menyelamatkan kanak-kanak itu.
Katanya, Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM Melaka Tengah, Muslim Abdullah dan Nurhezlin Jaafar sudah membuat permohonan bagi perintah jagaan sementara kanak-kanak terbabit di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, kelmarin.

“Kami berjaya mendapat perintah jagaan sementara diputuskan Majistret Muhammad Hazri Hanafi bagi menempatkan kanak-kanak itu di bawah penjagaan orang yang layak iaitu, ibu saudaranya mengikut peruntukan Seksyen 17 (1) (e) Akta Kanak-Kanak 2011,” katanya.hmetro

No comments: