Pages

Saturday, August 6, 2011

Dua beradik maut dirempuh lori baja

BOTA: “Suami tidak pernah keluar rumah tanpa memaklumkan kepada saya sejak kami berumahtangga lebih 10 tahun lalu. Tapi, pagi tadi (semalam), saya terkejut melihat dia sudah tiada ketika pergi ke ruang tamu selepas mengemas dapur.
“Saya tidak sangka perubahan sikap mendadak itu adalah petanda dia akan pergi meninggalkan saya dan anak buat selama-lamanya,” kata Sazura Mohd Yahya, 37, isteri kepada Aminuddin Kamaruddin, 42.

Aminuddin, seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), di Kampung Gajah dan adiknya, Mohamad Termizi, 37, berasal dari Batu 16, Kampung Lambor Kanan, Parit, terbunuh apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa baja di Kilometer 8, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, dekat Parit, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7 pagi itu, dua beradik malang berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas tersepit dalam kereta yang remuk.

Sazura berkata, arwah juga bersikap pelik apabila bercadang membeli pakaian baru beberapa hari sebelum Aidilfitri.

“Sebelum ini arwah akan membawa saya dan lima anak kami berusia antara 13 hingga dua tahun membeli-belah beberapa hari sebelum Ramadan.


“Saya sedih kerana hajat arwah tidak kesampaian dan tragedi ini meragut kegembiraan kami sekeluarga untuk meraikan Aidilfitri,” katanya sebak.

Sementara itu, isteri Mohamad Termizi, Norhana Ahmad Kamal, 23, masih trauma dengan kejadian yang menimpa suaminya kerana baru beberapa minit berbual dengan arwah melalui telefon bimbit sebelum kemalangan.

No comments: