Pages

Saturday, August 6, 2011

Cap jari, bukti dalam BMW



AKHTAR (berkopiah) melihat kereta BMW Ahmad Kamil di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain semalam diberitahu terdapat tiga kesan cap jari serta lapan bukti lain ditemui dalam kereta jenis BMW milik peguam Ahmad Kamil Abdul Karim.
Pegawai Forensik Bukit Aman, Deputi Supritendan Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar (gambar) berkata, cap jari itu dikesan pada sekeping kad smart dan touch & go serta pewangi lavendar. Barang itu terdapat dalam kereta yang dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010 itu.
“Selain itu kami jumpa kertas iklan TM, diari, stereng kenderaan, tombol gear dan surat khabar The Sun. Kereta yang menggunakan nombor pendaftaran AAJ 5 itu kemudian ditanda sebagai bukti,” katanya sambil menambah kereta itu dijumpai semula di Jalan SS12/1B dekat sini tujuh hari kemudian.
Saksi ke-34 pendakwaan itu memberi keterangan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dalam perbicaraan bekas peguam N. Pathmanabhan, 41, bersama T. Thilaiyagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Mereka didakwa membunuh Sosilawati, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, Ahmad Kamil, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Zainal Abidin berkata, dia mendapat panggilan pada 6 September 2010 mengatakan pihak polis telah menjumpai sebuah kenderaan berkaitan dengan kehilangan Sosilawati dan tiga yang lain.
“Kami mendapat panggilan pada pukul 9.40 malam dan terus ke tempat kereta itu dijumpai lalu membuat pemeriksaan menyeluruh,” katanya.
Zainal Abidin turut menambah, pada pukul 10 pagi 14 September 2010, dia memberi bantuan forensik di Sungai Kanchong, Banting bersama empat anggota bagi mencari zink yang dipercayai dibuang.
Jelas saksi, selepas enam keping zink itu diserah kepadanya, dia mengarahkan anggota membuat rajah kasar, menyusun zink, buat label penandaan dan membalutnya.
Saiful kemudian memohon untuk membawa saksi membuat pengecaman sebuah kenderaan iaitu kereta jenis BMW berwarna hitam tersebut milik Ahmad Kamil di lobi mahkamah.
Dalam pada itu, Zainal Abidin berang apabila diasak peguam bela, Manjeet Singh berhubung kertas minyak yang diguna untuk membalut zink sehingga terpaksa ditenangkan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Dakwa saksi, dia tidak tahu mengenai bahan yang digunakan untuk membuat kertas minyak dan meminta Manjeet untuk tidak bertanyakan soalan yang tidak sesuai kepadanya.
Perbicaraan bersambung Isnin depan.KOSMO

No comments: