Pages

Friday, August 12, 2011

5 juta hadapi risiko tsunami

SATELIT NASA 31 Julai lalu menunjukkan kawasan ledakan gunung berapi Krakatoa (atas kiri) pada 1883 punca tsunami mengakibatkan 30,000 mati.
SATELIT NASA 31 Julai lalu menunjukkan kawasan ledakan gunung berapi Krakatoa (atas kiri) pada 1883 punca tsunami mengakibatkan 30,000 mati.

PBB ramal Indonesia paling bahaya

JAKARTA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menamakan Indonesia sebagai negara paling berisiko dilanda tsunami dengan lebih lima juta penduduk dikhuatiri terdedah kepada serangan ombak gergasi itu.
Pengurus projek Program Bersama Strategik PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana di Indonesia berkata, badan dunia itu mengukur berapa banyak kawasan dan penduduk terdedah kepada gegaran bumi akibat gempa berdasarkan data Strategi Antarabangsa Bagi Pengurangan Bencana PBB.
“Muka bumi, Indonesia lebih baik berbanding Jepun. Namun, risiko negara itu lebih tinggi berikutan kurang pelan menghadapi situasi itu termasuk rancangan kecemasan,” kata Victor.

Katanya, kawasan paling terdedah kepada tsunami adalah berhampiran pinggir tiga plat tektonik membabitkan kepulauan Indo-Australia, Pasifik dan Eurasia iaitu lokasi gegaran gempa bumi dasar laut yang boleh menyebabkan gelombang besar berlaku.

“Kawasan ini termasuk di pantai barat Sumatera, pantai selatan Jawa dan Nusa Tenggara, pantai utara Papua dan kepulauan Maluku,” katanya.

Sistem amaran awal tsunami oleh Indonesia masih tidak menyeluruh menyebabkan jika berlaku sesuatu bencana, angka korban dan kemusnahan lebih besar.
Pada masa sama, beliau mengakui ada peningkatan dalam usaha kerajaan mendidik masyarakat di kawasan pantai mengenai risiko tsunami sejak bencana Disember 2004 di Lautan Hindi yang memusnahkan Aceh. Usaha ini termasuk penerbitan peta bagi kawasan yang terdedah kepada bencana itu.

“Walaupun peta terbabit tidak diedarkan kepada semua kawasan yang terdedah kepada bencana di negara ini, langkah itu perlu dipuji,” kata Victor.

Suhardjono, ketua bahagian gempa bumi dan tsunami di Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik berkata, adalah ‘munasabah’ bahawa Indonesia akan menjadi negara berisiko tinggi terhadap tsunami, berikutan kedudukannya yang unik di garisan tektonik utama.

“Pertama kerana kedudukan Indonesia di sepanjang garisan teknonik. Kedua, walaupun gempa bumi di Indonesia tidak sekerap di Jepun, kekuatan letusan gempa bumi berlaku di sini cenderung pada magnitud lebih besar,” katanya. – Agensi , bharian

No comments: