Pages

Friday, August 12, 2011

Tiga sekeluarga maut nahas ketika pulang beli juadah buka puasa

KEPALA BATAS: Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda di Permatang Binjai di sini ketika dalam perjalanan pulang dari membeli juadah berbuka puasa, petang semalam.

Dalam nahas pada jam 6.45 petang itu, dua beradik Nurmadiah Hashim,38, dan Nurhashima Hashim, 44, serta menantu Nurhashima, Shamsul Kamal Razali, 38, mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Perai Utara, Asisten Superintenden Suhaimi Md Nor, berkata isteri Shamsul Kamal, Siti Suraya Mansor, 23, dan saudara mereka Mohd Firdaus Azlan, 10, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.
"Mereka pergi ke bazar Ramadan Maklom dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Kapur, Penaga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suhaimi berkata, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan yang dipandu Siti Suraya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika di simpang empat Jalan Permatang Binjai.

"Kenderaan pacuan empat roda dari arah Butterworth itu dipandu laju dan melanggar bahagian kiri kenderaan dinaiki lima sekeluarga terbabit sehingga menyebabkannya terseret ke bahu jalan, manakala kereta pacuan empat roda itu pula terbalik," katanya.

Suhaimi berkata, empat orang yang menaiki kereta pacuan empat roda itu hanya cedera ringan.
Katanya, polis mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda itu.

Beliau meminta saksi kemalangan itu supaya tampil memberikan maklumat. - BERNAMA , bharian

No comments: