Pages

Friday, August 12, 2011

Ibu harap anak pulih





Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan bersama Che Ku Zaimah Che Ku Awang selepas menghadiri rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Ogos - Siapa yang tidak sedih melihat keadaan mangsa simbah asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, mengharungi kehidupan dalam keadaan wajahnya yang penuh dengan parut akibat terkena asid angkara perbuatan bapanya sendiri.
Ibu mangsa, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, berkata, dia sangat sedih setiap kali memandang wajah anaknya itu dan hanya berharap ia dapat dipulihkan segera.
"Saya harap sangat wajah Nurul Dahyatul Fazlina dapat dipulihkan secepat mungkin dan boleh kembali menjalani kehidupan seperti orang lain," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Angkasapuri di sini, hari ini.
Nurul cedera teruk di wajah dan bahagian kepala serta badan akibat terkena simbahan asid ketika cuba meleraikan pertengkaran ibu dan bapanya di rumah mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu pada 15 Ogos 2010.
Che Ku Zaimah berkata, wajah anaknya itu boleh dipulihkan sekiranya dia menjalani pembedahan plastik yang melibatkan kos kira-kira RM300,000.
Dalam pada itu, Pengurus Larian Sahara, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk membantu Nurul Dahyatul Fazlina menerusi tabung yang ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
"Kita telah melancarkan tabung yang dikenali sebagai Tabung Pulih Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda-YPU dua minggu lalu," katanya.
Selain itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, kerajaan perlu memandang berat dan mengambil tindakan segera berhubung isu penjualan asid atau cuka getah secara terbuka kepada orang awam.
"Ketika ini sesiapa sahaja boleh membeli cuka itu dari kedai logam tanpa dikawal dan terma cuka getah juga perlu diubah kerana rata-rata masyarakat menganggapnya tidak berbahaya dan sama seperti cuka makanan," tegasnya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan kepada tabung tersebut menerusi nombor akaun Bank Islam (Malaysia) Bhd. 13053010003071.-utusan

No comments: